Selasa, 24 Juli 2012

Hasil laut Pangkor

Pak su menunjukkan bungkusan ikan masin yang lebih cantik dan kemas khas untuk menarik minat pelancong.

Hasil laut Pulau Pangkor sudah semestinya bermakna dan istimewa bagi Rasdi Ibrahim yang membangunkan perusahaan berasaskan ikan untuk menaiktaraf ekonomi keluarga

“DI sini (Pulau Pangkor) tidak ramai golongan muda yang berminat untuk mengusahakan produk ikan masin walaupun permintaan agak tinggi.

Mungkin kerana pekerjaannya yang agak leceh dan tidak popular seperti bekerja di bandar," katanya.

Begitu kata Pak Su ketika ditemui pada sesi lawatan pegawai Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Pangkor, Isa Farid Isa Anshori di kedai miliknya di Pulau Pangkor, Perak, baru-baru ini.

Jelas Pak Su, perusahaan ikan masin miliknya dimulakan sejak dua tahun lepas. Pada ketika itu dirinya tidak memiliki apa-apa dan hanya memikirkan untuk membuat ikan masin.

Namun katanya, apabila mula menjalankan perniagaan barulah beliau sedar bahawa perlu mengadakan sebuah tempat khas untuk menghasilkan ikan masin.

Ia termasuklah kawasan menyiang ikan, peti simpanan yang baik, kawasan penjemuran, rak penggantung ikan dan pelbagai lagi.

Bagaimanapun selepas dua bulan mengusahakan produk ikan masin, usaha Pak Su mendapat perhatian Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melalui Persatuan Nelayan (PN) Pulau Pangkor, datang memberikan bantuan.

Bantuan yang dibekalkan berupa peralatan seperti peti dingin beku, peti ikan dan pelbagai lagi yang berjumlah hampir RM20,000.

Pastinya, apabila menjadi antara satu-satunya pengusaha Islam yang menghasilkan ikan masin, gerai Pak Su tidak pernah lengang daripada kunjungan orang ramai terutamanya di kalangan umat Islam.

Pak Su yang sebelum ini mengusahakan kedai makan mengakui ikan masin buatannya kadang kala tidak dapat dihantar keluar daripada pulau tersebut berikutan permintaan daripada penduduk di sana juga tinggi.

“Di sini penduduk suka menempah ikan masin saya secara pukal terutamanya apabila mereka hendak mengadakan kenduri-kendara.

“Namun saya juga sedang berusaha untuk meningkatkan pengeluaran ikan masin untuk memenuhi permintaan dari luar pulau," katanya.

Tambahnya, terdapat beberapa pengusaha di luar Pulau Pangkor telah menemuinya dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan bekalan ikan masin daripadanya.

Biarpun begitu Pak Su terpaksa menangguhkan tawaran tersebut berikutan infrastruktur yang terdapat kini masih belum mampu untuk menampung permintaan tersebut.

Antara cabaran seterusnya adalah untuk mendapatkan bekalan ikan mentah daripada nelayan.

Jelas Pak Su, bekalan ikan yang diperolehinya adalah bergantung kepada hasil tangkapan nelayan sama ada hasil pancing mahu pun pukat.

Antara spesies ikan menjadi permintaan tinggi untuk dijadikan ikan masin adalah talang, tenggiri, kurau, gelama, kembong, cencaru dan tamban.

Kadang-kala Pak Su turut menghasilkan ikan masin daripada ikan-ikan yang lebih mahal seperti kerapu, jenahak, ikan merah dan pelbagai lagi.

Di sebalik kejayaan yang sedang ditempa oleh Pak Su kini, namun terselit jua sedikit sebanyak cabaran yang perlu dihadapinya.

Antaranya cabaran yang dihadapinya adalah dari segi kekurangan stok ikan, keadaan cuaca, kawasan pemprosesan ikan masin yang terhad.

“Pak Su kini sedang dalam usaha untuk mendapatkan sedikit pinjaman bagi membesarkan kedai dan jika ada rezeki lebih ingin memasang lantai jubin di dalam kedai.

“Ia bukan apa, kerana kedai Pak Su kini sering menjadi destinasi lawatan pelbagai pihak untuk melihat sendiri bagaimana proses membuat ikan masin dilakukan," ujarnya.

Sementara itu, Pak Su turut menerangkan tentang proses pembikinan ikan masinnya agak berbeza dengan kedai yang lain.

“Bagi menghasilkan ikan masin yang berkualiti tinggi, ikan perlu dibersihkan dengan baik.

“Selepas ikan dibelah, isi perut akan dikeluarkan dan dicuci sebanyak tiga kali, rendaman pertama untuk menghilangkan darah, kedua proses bilasan air bersih dan ketiga air bersih perlu dilalukan ke atas ikan sebelum ikan diperam ke dalam peti bersama garam," katanya.

Tiga peringkat membasuh ikan masin tersebut adalah bagi memastikan ia benar-benar bersih dan apabila dikeringkan akan bertahan lama.

Ujar Pak Su terdapat juga pengusaha ikan masin lain yang meletakkan bahan pengawet bagi memelihara keadaan ikan masin, namun beliau tidak berbuat demikian.

Selain kedai pemprosesan ikan masin, Pak Su turut mengusahakan perniagaan menjual hasil laut yang lain seperti keropok ikan, keropok udang, sate ikan dan juga pekasam ikan laut.

Bagi yang berminat untuk menempah atau bertanyakan lokasi kedai Pak Su boleh menghubungi beliau di talian 013-5131523.

Sumber:http://www.utusan.com.my/

Sabtu, 21 Juli 2012

Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak

Selamat menjalani ibadah puasa buat rakan-rakan, sahabat, pengunjung puakajoran.blogspot.com. Sekali lagi Umat Islam seluruh dunia menyambut kedatangan bulan yang paling mulia dalam kalendar Islam, Ramadan al-Mubarak dengan penuh kegembiraan dan keinsafan.

Ia bukan sekadar bulan diwajibkan berpuasa tetapi lebih penting pada bulan ini hukum dan perlembagaan tertinggi buat umat manusia, al-Quran, diturunkan Allah SWT.

"Bulan Ramadhan, yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah)." (maksud al Baqarah: 185)

Melalui al-Quran, maka Allah SWT menyelesaikan segala kemelut dan permasalahan manusia khasnya bagi mereka yang mahu menjunjung dan melaksanakannya.

Oleh itu bulan Ramadan ini bukan sekadar bulan ruhiyah (spiritual) bagi mereka yang tekun menghayatinya tetapi ia sebenarnya bulan siyasiyah (politik) kerana di bulan inilah hukum dan peraturan lengkap bagi manusia diperturunkan Allah SWT kepada Rasul-Nya SAW.

Di samping kita mengejar manfaat dan kelebihan Ramadan sebagai bulan ruhiyah kita juga wajar menghayatinya sebagai bulan siyasiah bagi mengembelengkan seluruh tenaga dalam meyakinkan segenap lapisan masyarakat bahawa formula untuk menyelamatkan agama, bangsa dan negara kita hanyalah apabila kita kembali kepada al-Quran yang diturunkan pada bulan ini di samping berpegang teguh kepada Sunnah Rasul-Nya.

Di bulan penuh barakah ini jangan sekali-kali kita lupa nasib saudara-saudara kita di bumi Islam yang sedang bergolak khasnya di Palestin,Syiria, Myanmar dan di seluruh belahan bumi umat Islam di dunia ini.

Titipkanlah doa di bulan yang penuh rahmat ini, mudah-mudahan Allah SWT memberikan kemenangan dan kejayaan kepada mereka setelah sekian lama hidup dan menderita dalam kesengsaraan, darah dan air mata.

Semoga Ramadan tahun ini mampu membangkitkan kesedaran kita untuk mempertingkatkan amal ibadat menuju keredaan Allah di samping menyedarkan kita bahawa hanya Islam penyelamat kita di dunia dan di akhirat, lantas marilah kita sama-sama kembali kepadanya, InsyAAllah dengan bantuan Allah SWT,kita akan bersama-sama ke arah keredhaan Allah SWT.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan "Ramadan Kareem" kepada semua pengujung blog ini dan umat Islam seluruhnya, mudah-mudahan kekuatan dan semangat yang terbentuk sepanjang Ramadan ini akan terus memperteguhkan iltizam kita untuk sama-sama membela, mempertahan dan memperjuangkan Islam hingga ke akhir hayat. - MENJORAN UNTUK SEMUA @ FISHING 4ALL.

Adaptasi daripada Perutusan Ramadhan :Ustaz Abu Bakar Hussain