Minggu, 30 Agustus 2015

Trip Pulau Bidan 25.7.2015 Dengan Tekong Bang Din Teluk Nipah

Kekecewaan trip Pulau Sembilan sebulan yang lalu tidak bertahan lama.Pada 25 Julai 2015, kira-kira seminggu selepas Aidil Fitri kami meredah samudra lagi.

Dibarisi penjoran tegar, saya, cikgu Nizam,cikgu Rozidi, cikgu Izhar dan Sdr Ody, kami mencuba nasib di Peraiaran Pulau Bidan, Kedah.

Pertama kali menggunakan khidmat tekong Bang Din Teluk Nipah. Ketika tiba di pengkalan, kami disapa ramah.

Kebiasaannya di lokasi lain, kami tiba lebih awal daripada tekong tetapi kali ini tidak. Tekong telah sedia menanti.Tekong tidak menjanjikan apa-apa cuma katanya "kalau ada rezeki adalah"

Jeti nelayan yang permai.Tidak banyak bot berlabuh di sini. Kedudukannya bertentangan dengan pengkalan nelayan Tanjung Dawai. 

Pembantu tekong untuk trip ini Saudara Lan. Kami memulakan pengembaraan lebih kurang pada pukul 5.00 petang.

Hasrat kami hanyalah untuk menjinakkan ikan-ikan karang seperti anak-anak jenahak (tetanda) dan kerapu.



Sebelum tiba di lokasi menangkap sotong untuk dijadikan umpan, kami memanaskan badan dengan mengail ikan-ikan kecil menggunakan umpan udang, namun ikan-ikan kecil seperti "sombong".

Tidak mahu menjamah umpan udang hidup. Situasi begitu turut mengiringi malam hinggalah bulan yang menerangi malam kian pudar. 

Sotong pula amat sukar timbul.Mungkin disebabkan cahaya bulan yang menyinari.Kami menjadi gusar.Mujurlah ada juga anak-anak ikan gelama dan tetuka yang sesekali bergayut pada mata kail menghilangkan bosan kami.

Hampir ke pukul 11.00 malam.Sotong yang ditangkap tidak lebih sepuluh ekor. Kami tidak boleh menunggu terlalu lama. Tekong mengarahkan bot ke lokasi. Waktu itu bulan sudahpun menghilangkan diri.

Baru sahaja kami melabuhkan sauh dan umpan, tiba-tiba kami dihampiri oleh sebuah bot pancing lain. Tekong bot tersebut meminta untuk tumpang berpaut bada bot kami.Sauh mereka terputus. Mahu pulang ke pengkalan mungkin agak jauh lantas bot kami menjadi tempat berpaut.

Tekong Din menjadi gusar.Kamipun demikian.Mahu ditolak permintaan mereka serba salah. Kami akur. Kedudukan bot tidak menentu.Satu sauh dua bot.Lorong ikanpun entah ke mana.Tidak seberapa ikan yang kami mampu tangkap. 

Pembantu tekong tidak jemu-jemu memujuk sotong supaya timbul di permukaan air. Dalam pada itu, tekong dan pembantu tekong tidak lupa turut melabuhkan pancing masing-masing.

Tekong mengambil keputusan untuk berpindah.Bot yang menumpang tadi mahu tidak mahu terpaksa pulang ke pengkalan mendapatkan sauh baru.Ketika itu jam sudah melewati waktu dinihari.
Ketika kami leka melayan getusan Sang Jenahak di lokasi berikutnya, tiba-tiba kami di hampiri bot pemancing yang tadi.Sauh terputus lagi.Kali kedua. Malangnya nasib mereka.Kamipun menumpang malang.

Jenahak yang tadinya agak galak meragut umpan menjadi sepi. Kami terus bertahan demi memberi laluan kepada bot yang terputus sauh tadi.Tekong letih, kami turut letih.Letih dengan karenah yang tidak dijangka itu.

Kami tidak boleh bertahan terlalu lama. Pukul 5.00 pagi kami mula bergerak ke tukun yang terletak dalam perairan Pulau Pinang. Kami terpaksa meninggalkan bot yang menumpang kami tadi berusaha sendiri. Kami tida di lokasi kira-kira 40 minit kemudian. Di situ rezeki kami. Jenahak mula menyerang bertalu-talu hinggalah hari merangkak siang.

Siangnya, umpan sotong sudah tidak releven. kami menukar umpan udang. Mulanya tidak dilayan.

Tekong mengubah kedudukan bot.Betul-betul di atas tukun.Kami perlu bertindak pantas, jika tidak ikan-ikan yang makan kail akan menyusup ke dalam tukun. Satu demi satu anak-anak jenahak dan kerapu kami daratkan.

Perjuangan kami hampir ternoktah kira-kira pukul 11.00 pagi.Umpan hanya tinggal beberapa ekor.Tidak mengapa, lagipun kami sudah cukup penat.Tekong dan pembantu tekong lagilah penat, penat menghela bot,penat menangkap umpan dan penat menurun naikkan sauh.

Pada masa yang sama, cikgu Nizam mencuba menggunakan Apollo. Ada juga cencaru yang sangkut. Saudara Ody pula tiada pilihan. Hanya tinggal seekor udang umpan yang paling besar. 

Perjuangan diteruskan hingga ke umpan yang terakhir dan hasilnya, kerapu harimau seberat 5kg. Kami menyangkanya Sang Kertaang.

 
 Saya dan cikgu Rozidi tumpang beraksi dengan ikan terbesar tangkapan Saudara Ody pada hari itu.

Kami puas, meskipun tiada tangkapan mega tetapi kami puas hati dengan khidmat tekong dan pembantunya. Tiada istilah rehat bagi mereka dan saya amat senang hati tatkala melihat mereka melakukan kefardhuan seorang muslim ketika berada di atas bot. Aksi yang jarang-jarang dapat dilakukan oleh tekong lain.



Pengkalan nelayan ini juga dilengkapi dengan "home stay" . Kepada sesiapa yang berminat untuk mengadakan hari keluarga atau mencari ketenangan eloklah mencuba suasana damai di sini.Bayaran untuk menginap di sini hanyalah sekitar RM 200 ke bawah pada waktu artikal ini ditulis.


Kepada penjoran yang ingin mencuba menduga lokasi ini bolehlah berhubung dengaTekong yang mesra dipanggil Bang Din Teluk Nipah. Bang Din boleh dihubungi di talian 019 4323703. Harga yang ditawarkan untuk perkhidmatannya amat berpatutan. - Tokanpuakajoran.

* Trip berikutnya pada 20.9.2015.InsyaAllah.

Kamis, 27 Agustus 2015

Trip Pulau Sembilan dengan Bot Tekong Din Pangkor - 13 Jun 2015 Paparan Tertunda

Trip berikutnya pada 13 Jun 2015 kira-kira seminggu sebelum menjelangnya puasa. Asalnya mahu jadikan trip jig di sekitar Pulau 9 namun hajat tidak kesampaian.
 
Sebelum berlepas kami sempat merakamkan gambar sahabat-sahabat dari Teluk Intan ini yang berpuas hati dengan hasil pancingan mereka malam tadi.


Kami tiba awal di Pengkalan seperti yang diminta oleh tekong bot Din Pangkor dan dijanjikan akan memberikan khidmat terbaik kepada kami  .

Pukul 9.00 pagi, kami dari serata arah, cikgu Nizam dari Parit Buntar, cikgu Hafiz dari Bagan Serai, Dr. Daud dan Along dari Kampar,Cikgu Rozidi dari Bagan Serai, saya dari Slim River dan Pak Dolah dari Felda Gunung Besout sudah terpacak berhampiran medan ikan bakar yang kebetulan menjadi pengkalan bot berlepas.

Sejam berlalu, dua jam berlalu sehinggalah kami mengambil keputusan menelefon tekong. Sekejap lagi ungkap tekong. Penantian kami berakhir pada pukul 12.00 tengah hari. Setelah memuatkan barang-barang, kamipun berlepas.Tekong dengan seribu alasan memohon maaf sebab terlewat. "Khidmat terbaik" dan kami hanya mampu tersenyum
.




Hati diamuk resah. Esok hari jumaat, jika mengikut janji awal esoknya kami pulang awal sebelum solat Jumaat. Jika berlepaspun sudah lewat, kami risau akan tertinggal solat Jumaat esoknya. Mujurlah juga cikgu Nizam menenangkan kami.Menjadi kelaziman grop kami kebiasaannya tidak beraktiviti sehingga meninggalkan solat Jumaat.
Kami begitu teruja untuk melakukan aktiviti jigging. Cikgu Hafiz telah mengeluarkan belanja yang agak besar untuk menyediakan alatan jigging.
Kami dibawa bermakan angin sekitar pulau Pangkor.Menyeliti celahan kapal-kapal yang berlabuh.Menjamu umpan apollo kepada anak-anak cencaru yang panjangnya sekitar sejengkal.

Kami ternanti-nanti tekong menggerakkan botnya ke Pulau Sembilan.Target kami setidak-tidaknya cencaru kuda sekurang-kurangnya bersaiz 2 ekor 1kg.

Tekong dan pembantunya seperti "syok" sendiri memerhatikan kami mendaratkan ikan-ikan kecil bertali arus sambil bersorak riang. Kami diamuk resah,dianggapnya seperti kami baru turun kali pertama pula untuk memancing.

Paling tidak dapat dilupakan apabila tekong membisikkan " Di sini ikan tak kenal umpan jig". Kami terdiam, misi bertukar. Mancing anak cencaru sahajalah.







Pukul 5.00 petang, perut berkeroncong. Kami masih bersabar dan mendiamkan diri.Malu juga untuk bertanya kerana pertama kali kami menggunakan khidmat bot Din Pangkor ini.

Sebentar kemudian pembantu tekong mula menyediakan menu.Anak-anak ikan cencaru dan ikan kembung menjadi teman sajian makan kami.Itu masa makan pertama kami.Tak apalah, masa masih panjang.

Sebelum ini tekong menjanjikan menyediakan makan tiga kali sewaktu kami beraktiviti.Selepas makan tekong mengarahkan botnya ke Pulau 9.


Kami tiba agak lewat.Tekong mengarahkan kami menurunkan apollo berumpankan bilis.Cencaru kuda banyak katanya.Memang betu, cencaru bersaiz 3 ekor 1 kg galak melahap umpan. Cikgu Hafiz sibuk beraksi "casting". Dua ekor cencaru saiz mega tewas dan akhirnya mata jig sangkut!

Sayangnya kami kesuntukan masa.Tidak berapa lama kemudian hari beransur gelap.Tidak banyak cencaru kuda yang dapat kami tawan.Hati kami tertanya-tanya mengapa tekong tidak bawa kami ke sini lebih awal?
Menjelang malam kami mula mengintai sotong untuk menjinakkan Sang Jenahak. Laut sedikit bergelora.

Sotong gagal kami perolehi. Tekong dan pembantu tekong mencuba juga untuk mendapatkan sotong sebagai umpan jenahak.Hanya beberapa ekor yang berjaya ditangkap. Kami berjimat.

Pada masa yang sama kami cuba juga menjinakkan sotong supaya timbul untuk kami jadikan umpan.Hampa.Mujur jugalah kami memesan tekong supaya menyediakan umpan alternatif, ikan kembung dan udang hidup.Ikan malam tidak mahu menjamah umpan seperti itu.

Tekong dan pembantu tekong beradu awal malam itu.Tinggallah kami terkial-kial, berjegil menahan mengantuk lantaran ikan tidak mahu menjamah umpan. Malam yang semakin mendingin tidak lagi dingin. Hati makin panas.

Di haluan Dr. Daud masih setia memujuk Sang Jenahak. Along pula mundar mandir memujuk sotong. Sesekali cikgu Nizam juga. Cikgu Rozidi dan cikgu Hafiz melayan angin malam.Hujan turun renyai-renyai.

Tekong dan pembantunya terus dibuai mimpi. Pukul 4.00 pagi tekong terpaksa bangun, generator kehabisan minyak. Tambah minyak terus sambung mimpi. Kami juga memujuk mata untuk turut bermimpi dengan hati yang panas dan perut yang lapar.


Keesokannya kami bersedia agak awal. Selepas solat subuh kami disediakan kopi O panas dan biskut kering. Alhamdulillah. Sejurus kemudian kami bergerak ke lokasi. Pembantu tekong rancak bercerita tentang ikan-ikan di lokasi tersebut. Kerapu sebesar lorilah dan banyak lagi.

Kami melabohkan umpan.Hanya 2 ekor talang bersaiz sedang dan 2 ekor ebek bersaiz S kami daratkan. Laut bergelora dan hujan mulai turun.Berengsot-engsot kami meninggalkan lokasi.




Gambar keseluruhan ikan tidak dapat kami paparkan. Kami tidak sempat beraksi kerana hujan yang turun mencurah-curah. Namun dianggarkan kira-kira 70 kg cencaru telah kami daratkan. Tiada ikan bersaiz mega dan apa yang agak menghairankan beberapa ekor cencaru bersaiz mega termasuk seekor pari yang kami pancing pada malam tadi hilang. Mungkin melompat ke laut semula.

Paparan ini tidak bermaksud mempertikai dan membuka aib sesiapa, hanya sekadar berkongsi pengalaman. Merasai jerih perih kehidupan  nelayan mengharungi samudra biru yang penuh gelora. -Catatan Tokanpuakajoran, - Gambar ikhsan Dr. Daud.

Selasa, 25 Agustus 2015

Trip Santai Pulau Pangkor - Paparan Tertunda

Trip berlangsung pada 9 Mei yang lalu. Trip santai sambil meneroka perairan Pulau Pangkor dengan rakan-rakan. Bot dipandu oleh Tekong Khairul berpengkalan di Teluk Murok, Lumut.
Rakan-rakan yang menyertai trip ini, Saudara Jai TBS, Pak Dollah FB3, Cikgu Nizam PB, Tuan Lan Dresa FB3, Tok Pawang Hamdi FB3 dan saya sendiri.
Hebat aksi Tok Pawang Hamdi menewaskan Sang Bawal Emas.

Seronok juga sesekali bersantai dan meronda di perairan sendiri.


















Tidak banyak hasil yang kami perolehi, ikan-ikan biasa sahaja seperti anak-anak kerapu, tetanda, Gt dan ikan-ikan kecil yang lain.