Sungai kurau atau Sungai Gedong adalah salah sebuah sungai yang berasal daripada aliran air kolam atau tasik Bukit Merah yang terkenal dengan ikon ikan arowana yang bernilai tinggi. Suatu ketika dahulu arowana boleh didapati dengan mudah di sungai ini. Salah seorang yang menjadikan tangkapan anak-anak arowana sebagai pencarian utama sekitar tahun 70 - 80-an ialah Allahyarham Pak Cik Mat Husin yang tinggal tidak berapa jauh daripada rumah kelahiran saya di kampung.Pada ketika itu seekor anak ikan arowana yang sebesar tiga jari orang dewasa dijual dengan harga RM 30 hingga RM 50 bergantung pada kualitinya. Ketika ini harga pasaran seekor anak arowana yang baru menetas mencecah RM 400 . Itupun masih boleh disangsikan samaada ikan -ikan itu memang dari Baka Bukit Merah ataupun baka tempat lain yang hanya dibiakkan di kolam-kolam buatan pengusaha tempatan atau syarikat asing yang berkembang maju sepanjang Tali Air Pancur, Bukit Merah menggunakan aliran air kolam Bukit Merah.
Saya pernah berkongsi cerita suka duka pemburu arowana atau kelisa sekitar tahun 80-an dahulu. Sebahagian daripada mereka masih boleh ditemui dan bermastautin di felda Besout 4. Pernah mereka memperolehi tangkapan sehingga 7 ekor anak kelisa pada satu-satu malam. Menurut mereka anak-anak kelisa liar biasanya akan berada dalam lingkungan tidak jauh daripada tempat anak ikan pertama ditemui. Dengan berpandukan cahaya lampu suluh, pemburu kelisa akan berlegar-legar di kawasan tersebut menantikan anak-anak kelisa itu muncul. Menurut mereka, induk kelisa akan menyembunyikan anak-anaknya di dalam mulut apabila menyedari anak-anaknya terancam. Terserempak Sang Bedal adalah pengalaman biasa bagi pemburu kelisa Sungai Kurau ketika itu.
Ini adalah gambar-gambar ikan arowana Sungai kurau yang dipelihara oleh salah seorang pengusaha taradisi yang juga merupakan sahabat baik adik saya, Kudin. Walau bagaimanapun, pengusaha terbabit, Pak Andak Talib tidak mahu diberi publisiti, lantaran tidak mampu melayani permintaan yang tinggi terhadap arowana asli Bukit Merah yang diusahakannya.