Tampilkan postingan dengan label Ikan Kelabau. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Ikan Kelabau. Tampilkan semua postingan

Sabtu, 04 April 2015

Kelabau Kuala Slim 20 Januari 2015

Sesekali layan juga ikan-ikan sungai walaupun lokasi untuk menjoran amat sukar ditemui. 

 
Proses pengubahsuaian sungai sebagai tapak pertanian atau perladangan dan juga proses mengelakkan banjir menjadikan lokasi bertambah cetek dan habitat semula jadi ikan musnah.

Jika adapun satu atau dua lokasi yang baik kebiasaannya kerap dikunjungi oleh penjoran tegar yang lain.Lokasi yang berpotensi menjadi lubuk ikan, kerap pula dituba, dikaran dan dibom pada musim-musim ttertentu.

 Lokasi Sang Kelabau
 Saudara Ody.Sukarnya untuk memperolehi spesis ini...
  Sawit merah, umpan yang sangat digemari Sang Kelabau.
Sawit dipotong dadu dan dicangkukkan ke mata kail. Boleh juga digunakan sawit yang telah diperam sebagai umpan.

Senin, 22 September 2014

Rekod Baharu: Kelabau 4.8 Kg Milik RPj Hairi Karnain

 
Sebelum cuti persekolahan keadaan air sungai dalam keadaan baik.Masih terngiang-ngiang di telinga ajakan rakan-rakan untuk kembali beraksi.

Fikiran agak berceleru lantaran memikirkan kertas UPSR murid-murid tahun 6 yang terpaksa diulang kerana kebocoran seperti yang diumumkan Kementerian Pelajaran Malaysia. Emosi anak didik perlu dijaga dan didampingi agar mereka tidak kecewa.Disusuli pula faktor kesihatan keluarga.

Berita aktiviti rakan-rakan tidak dikesampingkan sama sekali.Berikut saya paparkan antara hasil pancingan rakan-rakan yang mencipta sejarah dan rekod baharu di lokasi dan mungkin juga di seluruh gugusan FELDA Besout jika tidak sebelumnya, mungkin pada tahun 2014 ini.

Menurut sumber (RPj Cik Li) tangkapan (kelabau) ini di perolehi sekitar tiga hari sebelum cuti sekolah bermula.Di daratkan oleh penjoran tegar RPj Hairi Karnain di lokasi biasa "Corner S" sungai Ladang Ulu Basir. Pertarungan yang memakan masa hampir 40 minit setelah dua perambut berumpan sawit putus sebelum ini.

Apapun, tahniah diucapkan kepada RPj Hairi kerana memadamkan rekod pendaratan kelabau Ulu Basir dalam kalangan rakan-rakan.

Tangkapan lain pada hari yang sama.

Juragan Nizam, Ali Burger bagaimana? Ada Bran?

Selasa, 11 Juni 2013

Kelabau Pertama Sesi 2013

KELABAU.Sejak dua tahun kebelakangan ini usahkan ikan kecil, bayang atau kelibat spesis ini sukar  saya jejaki. Faktor cuaca dan keadaan air menyukarkan spesis ini menjamah umpan. Saban minggu  saya dan rakan-rakan hanya menyusur sungai Slim, sungai Cenderiang hingga ke Tronoh Mines menjejak jelawat. Jelawat, lampam dan sesekali Sang Patin galak menjamah umpan tatkala air besar.

Cuaca panas pada minggu lepas (cuti sekolah) menggerakkan hati saya untuk ke tuas kelabau perkampungan Orang Asal Kampung Alah Batu, Ulu Selangor yang jaraknya hanya beberapa Km dari tempat tinggal.Hari pertama saya tewas, namun sahabat saya Cikgu Wadi berjaya juga mendaratkan 2 ekor lampam jawa bersaiz 600 g setiap seekor. Sebelum pulang, kira-kira pukul 6.45 petang saya terlihat kelibat Sang Kelabau membuat kocakan dipermukaan air.

Keesokkan harinya saya berseorangan berkunjung ke situ. Belumpun sampai 10 minit umpan dilabuhkan, tali mula bergerak perlahan. Telahan saya tepat. Inila hasilnya.Seekor kelabau seberat 1.5 kg.

 



Sedikit terkilan, tiada peralatan video ketika itu. Gambar yang dirakam agak kabur.


Info Ikan Kelabau

Ikan kelabau atau Osteochilus melautanopleura tidak mendiami semua sungai di negara kita. Sekitar negeri Perak dan Selangor spesis ini boleh didapati di sungai Perak dan Sungai Bernam. Habitatnya di kawasan sungai yang tidak tercemar dan berbangkar. Menurut pengalaman rakan-rakan pancing, kelabau biasaannya mendiami kawasan lubuk yang tidak terlalu deras airnya (tenang) dan keadaan tebing sungai yang menegak. Kelabau biasanya berkumpulan dan menyandarkan badannya pada tebing yang menegak itu atau mendiami bangkar atau reba di sungai yang berlubuk.

Bentuk ikan ini hampir-hampir menyamai ikan rohu namun sisiknya agak kecil dan bermata merah. Sebahagian penduduk negeri Perak memanggil ikan ini dengan panggilan ikan ara-ara, ada juga yang menamakan ikan ini merah mata disebabkan matanya yang merah.

Spesis ini amat gemar memakan buah sawit yang masak kemerah-merahan. Tidak hairanlah kaki pancing menggunakan buah sawit yang dipotong kecil untuk mengumpan ikan ini.Penggunaan mata pancing (kecil) dan bersesuaian amat perlu untuk menewaskan ikan ini memandangkan mulutnya yang agak kecil hampir-hampir menyamai mulut ikan terbul. Tabiat pemakanan ikan inipun menyamai ikan terbul. Jika gagal mendaratkan dengan baik ketika memancing (lepas) satu kumpulan akan melarikan diri. Kelabau juga amat licik melarikan diri ke dalam bangkar apabila terasa mulutnya tertusuk mata pancing. Ramai kaki pancing yang terpaksa berputih mata ketika bertarung dengan spesis ini lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan kelabau yang bersais mega (1 kg lebih). Keadaan air yang jernih kemerah-merahan serta sedikit suam menjadikan ikan ini galak menjamah umpan.

Sabtu, 22 September 2012

Kelabau Dan Kaloi Penghujung September 2012

Malam 18 September,ketika sedang bersedia untuk kembali meneroka "khazanah rimba" terserempak dengan sahabat joran Ali Burger, sedang menanti hidangan istimewa di kedai makan Awe Pusat Niaga Besout, hasil pancingan siang tadi. Seekor kelabau bersaiz mega. 2.9 Kilogram. Saiz yang jarang-jarang boleh ditewaskan dengan mudah apatah lagi lokasi persembunyian spesis ini kebiasaannya dipenuhi reba dan bangkar.Mendaratkannya perlu berhati-hati dan sabar. Jika tersilap, boleh berputih mata.

Bukan hanya kelabau, seekor kaloi seberat 3 kg juga menjadi mangsa Ali pada hari dan di lokasi yang sama, Sungai Bernam ,Ulu Basir.



Dua ekor tangkapan yang cukup mengujakan.

Memenuhi talam hidangan.
 Sedia untuk dihidangkan.
Tokan bercadang untuk ke lokasi pada hari ini. Persiapan telahpun dibuat. Malangnya hujan turun berpanjangan sejak tiga hari lalu. Lazimnya air sungai menjadi keruh. Kelabau susah menjamah umpan jika air sungai keruh dan sejuk. Perburuan terpaksa ditangguhkan.