Rabu, 22 Januari 2014

Guru Penolong Kanan KoKurikulum SMK (F) Trolak Maut Dalam Kemalangan


Dua beranak maut rempuh bangkai lembu
Kereta dinaiki mangsa remuk selepas merempuh bangkai lembu (gambar kecil) di KM86, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Sungkai, semalam.
Sungkai: Akibat terlanggar bangkai lembu, seorang guru dan anaknya maut dalam kemalangan di Kilometer 86 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di sini, semalam.

Dalam kemalangan kira-kira jam 6.30 pagi itu, Kamarudzaman Bokhri, 51, dan Muhammad Hariz Zakwan, 15, meninggal dunia di tempat kejadian. 


Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw, berkata Kamaruzzaman yang juga Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Trolak, dalam perjalanan ke sekolahnya sebelum terlanggar bangkai lembu di tengah jalan itu. 



Lembu dilanggar lori

Difahamkan, lembu terbabit mati akibat dilanggar lori beberapa jam sebelum itu dan dibiarkan di situ.

Katanya, guru berkenaan yang memandu PERODUA Kelisa, tidak sempat mengelak bangkai lembu itu sebelum terlanggar sehingga menyebabkan anak lelakinya tercampak keluar.
“Kereta dipandu mangsa kemudian terbabas ke laluan bertentangan sebelum dirempuh Toyota Avanza dari arah bertentangan.

Mati di tempat kejadian

“Dua beranak itu mati di tempat kejadian, manakala pemandu Toyota Avanza hanya cedera ringan,” katanya di sini, semalam.

Dalam kemalangan itu, sebuah kenderaan yang mengekori kereta guru itu berhenti secara mengejut selepas menyedari kejadian berkenaan, dirempuh kenderaan lain dari belakang, tetapi kedua-dua pemandu hanya cedera ringan.

Mayat dua beranak itu dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat, manakala tiga pemandu lagi mendapat rawatan pesakit luar di hospital yang sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pengetua SMK Trolak, Shaharuddin Mohd Daud, berkata Allahyarham yang berkhidmat di sekolah itu sejak lima tahun lalu adalah guru yang berpengalaman dan dedikasi.

Minggu, 05 Januari 2014

Amaran Angin Kencang Hingga Jumaat...


KUALA LUMPUR 6 Jan. - Angin kencang dan laut bergelora kategori kedua yang kini melanda perairan Condore & Reef North dijangka berterusan sehingga Jumaat ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia berkata, angin berkelajuan 50-60kmsj dengan ombak mencapai ketinggian 4.5 meter yang berlaku di kawasan itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

Angin kencang dan laut bergelora kategori kedua yang kini melanda perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur pula dijangka berterusan sehingga hari ini.

Angin berkelajuan 40-50kmsj dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter yang berlaku di kawasan itu berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut, kata jabatan itu dalam kenyataan hari ini.

Jabatan itu berkata, ribut petir yang berlaku di kawasan perairan Sarawak (Kuching, Mukah, Bintulu dan Miri) serta Wilayah Persekutuan Labuan dan Sabah (Pantai Barat dan Kudat) dijangka berterusan sehingga awal petang ini. - BERNAMA

Dua Beranak Korban ‘Lubuk Puaka’


Oleh Hadzlihady Hassan dan Zulfa Mohamad (harian Metro)

Nibong Tebal: “Biar saya dukung anak saya walaupun sekejap,” kata Koperal Waridah Muing sejurus mayat anaknya, Mohd Halif Akim Abdul Halim dibawa naik ke darat di Sungai Kerian, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam.
Mayat anaknya berusia setahun 10 bulan itu ditemui pasukan penyelamat kira-kira 400 meter di tebing sungai manakala mayat suaminya Lans Koperal Abdul Halim Ibrahim, 52, ditemui jam 5.40 petang kira-kira 100 meter dari lokasi anaknya ditemui sebelum itu.
Waridah, 33, yang mengetahui mayat anaknya itu ditemui dilihat dalam keadaan masih trauma dan sedih cuba memeluk serta mahu mendukung anaknya sebelum mayat dibawa ke Hospital Sungai Bakap.
Suasana pilu itu turut dikongsi bersama ahli keluarga lain, pasukan penyelamat dan juga penduduk kampung yang turut menyaksikan situasi sedih itu.
Kelmarin, kira-kira jam 6 petang, Abdul Halim yang bertugas di Balai Polis Batu Kawan bersama isteri serta dua anaknya menaiki bot untuk bersiar-siar dan memancing di kawasan sungai terbabit.
Bagaimanapun, selepas hampir 20 minit, bot milik Abdul Halim dikatakan terlanggar objek menyebabkan ia melambung dan anak serta isterinya tercampak ke sungai.
Ketika itu, Abdul Halim terjun dan berjaya menyelamatkan anak sulung mereka, Nor Amira yang berusia lima tahun dan juga isterinya dengan menarik mereka ke dalam bot.
Bagaimanapun, Waridah dikatakan terjun semula untuk menyelamatkan anak bongsu mereka dan Abdul Halim yang tahu isterinya tidak pandai berenang sekali lagi terjun untuk menyelamatkan mereka.
Pada masa sama, anak pasangan itu yang berada dalam bot nekad mengemudi bot terbabit yang enjinnya masih hidup dan menghampiri ibunya.

Tindakan kanak-kanak berusia lima tahun itu berjaya menyelamatkan nyawa ibunya yang kemudian menaiki bot terbabit namun kelibat bapa dan adiknya terus hilang dari penglihatan mereka dua beranak.

Anak sulung daripada dua beradik itu sekali lagi bertindak berani apabila dia terus mengemudi bot berkenaan hingga ia dilihat seorang lelaki yang kebetulan sedang memukat udang.

Lelaki terbabit pelik apabila melihat hanya kanak-kanak itu dan ibunya berada dalam bot sebelum dia diberitahu Abdul Halim serta anaknya lemas dalam sungai berkenaan.

Berikutan itu, penduduk kampung serta pasukan penyelamat yang terdiri daripada polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) melakukan operasi mencari dan menyelamat.

Namun, keadaan gelap menyebabkan operasi terpaksa dihentikan dan bersambung semula kira-kira jam 7 pagi, semalam.

Usaha mencari dan mengesan itu berhasil apabila pasukan penyelamat menemui mayat Mohd Halif Akim kira-kira enam jam selepas itu.

Sementara itu, mayat Abdul Halim ditemui pasukan skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Jurucakap bomba berkata, mayat anggota polis terbabit ditemui dalam keadaan terapung di permukaan air tidak jauh dari lokasi anaknya ditemui.

“Mayatnya dalam keadaan sempurna dan masih berpakaian lengkap dan mayat dihantar ke Hospital Sungai Bakap untuk bedah siasat,” katanya.

Jenazah dua beranak terbabit dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Berembang, dekat sini malam tadi.

Sabtu, 04 Januari 2014

Anggota Polis dan Anak dikhuatiri Lemas di Sungai Krian Ketika Memancing Udang

Parit Buntar, 5 Jan. - Seorang anggota polis berpangkat Koperal dan anaknya dikhuatiri lemas akibat tergelincir ketika memancing di tebing Sungai Kerian, Kuala Sungai Udang, dekat sini kira-kira pukul 7 petang semalam.

Kejadian itu disedari seorang lelaki yang berada di kolam udang berdekatan dengan kawasan terbabit yang kemudiannya menghubungi pihak berkuasa.

Ekoran itu, sepasukan anggota bomba dan penyelamat dikejarkan ke tempat kejadian dan operasi mencari dimulakan pada pukul 7.15 petang tetapi dihentikan 15 minit selepas itu kerana cuaca mulai gelap.

Jurucakap pasukan bomba dan penyelamat berkata, operasi mengesan dua mangsa yang dikhuatiri lemas itu dijangka diteruskan seawal jam 7 pagi ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi dijangka mengadakan sidang akhbar di tempat kejadian pada pukul 8 pagi. - UTUSAN.

Jumat, 03 Januari 2014

Ribut di Perairan Berterusan Hingga Isnin


KUALA LUMPUR, 3 Januari 2014 - Angin kencang dan laut bergelora yang kini melanda perairan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur, Koh Samui di Thailand, Tioman dan Bunguran di Indonesia, dijangka berterusan sehingga Isnin depan.
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan di sini berkata, angin kencang Timur Laut berkelajuan dari 40 kilometer sejam (km/j) dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter itu berbahaya kepada bot-bot kecil serta aktiviti rekreasi dan sukan laut.
Selain itu, angin kencang yang bertiup dari 50km/j serta ombak setinggi 4.5 meter yang melanda kawasan perairan Condore & Reef North dijangka berterusan sehingga Jumaat depan.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak, menurut kenyataan itu.
Sementara itu, ribut petir yang berlaku di kawasan perairan Perak, Pahang, Miri, Wilayah Persekutuan Labuan dan pantai barat Sabah dijangka berterusan sehingga lewat petang ini.
Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil. - Bernama.