Kamis, 27 Februari 2014

Baung Sungai Slim

Santai Malam. Selepas tugasan malam (SRS) bersama-sama penduduk Taman Bukit Slim, bergegas ke lokasi santai sekitar sungai Slim. 

Bertemankan RPj Audi, RPj Tiger Bro dan RPj Jai Bukit Slim kami beradu nasib. 

Umpan pelbagai, namun baung ini ditewaskan menggunakan umpan lundi.Sejenis ulat yang mendiami kawasan sungai yang berpasir dan memakan reputan kayu yang terbenam di dalam pasir sekitar sungai. 

Dahulunya lundi boleh dibeli di kedai pancing sekitar Behrang. Sekarang tiada lagi dan untuk mendapatkan lundi terpaksa mencari sendiri namun lundi amat sukar ditemui.




Paling besar 500 g. Cukup untuk makan malam sambil santai hujung minggu keluarga saya dan kami berempat.

Rabu, 26 Februari 2014

Udang Galah Sungai Slim

Sungai Slim , Slim River.


Jenggo yang menelan mata kail saiz 13 (mata ikan) berumpankan cengkerik untuk pancingan baung

Jumlahnya mungkin tidak banyak namun saiznya agak besar. Setiap malam saya dan rakan RPj Odi menghabiskan masa sekitar satu jam di mana-mana lokasi sekitar sungai Slim untuk sesi rehatkan minda dan santai. Hasilnya dapatlah seekor dua Sang Sepit Biru ini. Hanya sekadar suka-suka.

Senin, 17 Februari 2014

SARAWAK - Tempat Mengasah Bakat Baru RPj Ustaz Amirul Sebagai Penjoran Tegar

RPJ Ustaz Amirul.Pendatang baru dalam kalangan Rakan Puakajoran.Orangnya pendiam. Salah seorang anak didik SK Besout 3 yang kini bergelar pendidik. Selepas tamat sesi latihan mengajar pada pertengahan tahun 2013, di tempatkan di salah sebuah sekolah rendah di negeri serawak. Sepanjang bermastautin di tempat kelahirannya, tidak pernah langsung menyentuh batang pancing, hobinya lebih menjurus kepada permainan bola sepak dan sukan. Setelah beberapa minggu berhijrah, kebetulan tempat tinggalnya yang baharu berdekatan dengan sungai,laut dan perkampungan, kehidupannya bertukar.Hobinya juga bertukar.Kesempatan bercuti dan pulang bercuti pada penghujung tahun nada ceritanya berubah sama sekali. Ikan dan joran serta hobi lasak ke hutan dan sawah mendenak ayam dan burung.

RPj Ustaz Amirul sempat mengirimkan dua keping gambar untuk dikongsikan.

Ketam pun dapat.
Sudah mahu melebarkan kawasan jajahan.Khabarnya, pada minggu ini mahu menjinakkan tenggiri pula...

Kamis, 06 Februari 2014

Awas Kaki Pancing, Jangan Buat Sesuatu Yang Boleh Mengundang Bahaya



Anggota PPDA menarik mayat mangsa ke dalam bot untuk dibawa ke daratan.
 

ALOR SETAR - Seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas bot polistirena buatannya terbalik di perairan sungai Kampung Seberang Perak, di sini, kelmarin, ditemui kira-kira jam 11.51 pagi, semalam.

Mangsa, Muhamad Saddam Azizan, 21, ditemui Pasukan Penyelam Di Air (PPDA) Bomba Sungai Petani pada hari kedua selepas mangsa dilaporkan hilang, kira-kira 15 meter dari tebing.

Difahamkan, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di dasar sungai pada kedalaman tujuh meter.

Ketua Operasi Bomba, Mhd Nasir Shafie berkata, mangsa ditemui di lokasi tempat awal mangsa dilaporkan lemas.

“Mayat mangsa dijumpai PPDA yang menyelam di kawasan terbabit. Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini bagi bedah siasat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.
Beliau berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 18 jam selepas dilaporkan lemas pada jam 5.30 petang, kelmarin.

Operasi mencari dan menyelamat disertai oleh 19 anggota bomba dan 51 anggota dari lain-lain agensi, termasuk polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan pasukan sukarela.

Mhd Nasir berkata, mangsa ditemui di lokasi tempat dilaporkan hilang selepas operasi menyelam ditumpukan kepada kawasan terbabit.

“Operasi ini bermula sejak semalam. Sebaik kita menerima aduan kira-kira jam 5.37 petang kelmarin, kita bergegas ke lokasi dan menutup punca air untuk mengelak daripada mangsa dihanyutkan ke kawasan laut.

“Mangsa berjaya ditemui tidak sampai 24 jam daripada masa dilaporkan lemas,” katanya.

Menurutnya, dengan penemuan itu, maka operasi terbabit berakhir kira-kira jam 12.30 tengah hari, semalam