Tampilkan postingan dengan label Tazkirah. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label Tazkirah. Tampilkan semua postingan

Senin, 06 Juli 2015

Al-QURAN HANYA DITADARUS, BUKAN UNTUK MENGURUS (Bahagian 11)


Tazkirah Puakajorangroup 20 Ramadhan 1436H.

Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Salawat dan salam juga untuk Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW.

Mulianya Ramadhan ini kerana diturunkan di dalamnya Al-Quran mulianya umat ini apabila mereka memuliakan Al-Quran.

 عَنْ عُمَرَ الْخَطَّاب رَضِيَ اللهُ عَنهُ قَالَ : قَالَ رَسُول اللهُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْكِتَابِ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ 

Daripada Umar bin Al-Khattab bahawasanya Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya Allah mengangkat dengan kitab ini beberapa kaum dan merendahkan dengan kitab ini kaum yang lain. (Hadis Riwayat Muslim) 

Memuliakan Al-Quran ialah dengan menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Al-Quran dan mengharamkan apa yang diharamkan oleh Al-Quran serta terus-terusan berjuang menegakkan kehidupan ini dengan panduan Al-Quran sepenuhnya samada bernegara, berekonomi dan sebagainya. 

Pemuja hawa nafsu ini berusaha sedaya upaya menjarakkan umat Islam dari mendekati Al-Quran. Digambarkan payahnya hendak membaca Al-Quran, kalau dibaca pun memadai hanya dengan bacaan yang merdu, kalau dihafaz pun, cukup sekadar hafazan. Projek menjarakkan umat Islam dari memahami Al-Quran adalah projek mega kerana hasilnya sangat berbaloi. Ini adalah formula jaminan kemenangan kem jahiliyyah ke atas kem syariat Allah. Allah berfirman dalam Surah Fushshilat Ayat 26:

 وَقَالَ الَّذِينَ كَفَرُوا لَا تَسْمَعُوا لِهَـٰذَا الْقُرْآنِ وَالْغَوْا فِيهِ لَعَلَّكُمْ تَغْلِبُونَ  - ٢٦

Bermaksud: Dan orang-orang yang kafir berkata: "Janganlah kamu mendengar Al-Quran ini dan tentanglah ia (dengan nyanyian-nyanyian dan jeritan-jeritan riuh rendah serta tepuk sorak), supaya kamu berjaya (mengganggu bacaan atau menenggelamkan suara pembacaannya)!"

Kita masih melayari bulan Ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini dengan penuh keinsafan dan kesabaran betapa pentingnya kita sentiasa mematuhi setiap anjuran Islam dalam kehidupan harian. Bersempena bulan yang mulia ini marilah kita memelihara batas-batas agama termasuklah memilih makanan yang menjadi juadah berbuka puasa mahupun bersahur dengan makanan halalan toiyiba sejajar dengan apa yang disyariatkan. Marilah kita memastikan bahawa setiap makanan atau minuman yang melintasi tekak lalu memasuki perut kita dan seluruh ahli keluarga kita adalah halal. Firman Allah dalam Surah An-Nahl Ayat 114:

 فَكُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ حَلَالًا طَيِّبًا وَاشْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ إِن كُنتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ  - ١١٤

Maksudnya: Maka makanlah daripada apa yang Allah kurniakan kepada kamu dalam keadaan halal dan baik serta bersyukurlah akan nikmat Allah jika kamu benar-benar menyembah Allah. Pilihlah makanan dan minuman yang halal dan tinggalkanlah yang haram mahupun yang syubhah. 

Begitu juga halnya dengan pembelian barang kegunaan harian termasuk persiapan menyambut 'Eidul Fitri, maka pilihlah barangan yang diyakini berstatus halalan toiyiba sahaja khasnya memiliki sijil pengesahan halal Malaysia. Semoga Allah akan sentiasa memelihara kita dari sumber makanan dan minuman yang haram. 

Moga-moga kita terus beristiqamah, bercita-cita dan terus berusaha melaksanakan segala urusan kita sejajar ajaran Islam dan sentiasa meletakkan al Quran sebagai sumber tertinggi dalam menjalani dan menguruskan kehidupan sejagat.

Wallahuaqlam.

Tokanpuakajoran.

Jumat, 03 Juli 2015

Al-QURAN HANYA DITADARUS, BUKAN UNTUK MENGURUS (Bahagian 1)

Tazkirah Puakajorangroup 16 Ramadhan 1436H.

Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Salawat dan salam juga untuk Junjungan Besar Nabi SAW. Antara hikmah terbesar kita berpuasa ialah bagaimana kita dilatih untuk mengawal hawa nafsu. Hawa nafsu yang tidak terkawal akan mnjerumuskan kita kepada berbagai bentuk keburukan. Allah berfirman di dalam Surah Yusuf Ayat 53:

وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي ۚ إِنَّ النَّفْسَ لَأَمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلَّا مَا رَحِمَ رَبِّي ۚ إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٥٣
 
Bermaksud: "Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku. (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." Kita perlu faham bahawa hikmah puasa ini bukan hanya penting untuk kita yang berpuasa secara individu tetapi ia juga sangat penting kepada umat Islam sebagai hamba-hamba Allah yang berada dalam kem memenangkan peraturan Allah berhadapan jahiliyyah versi moden yang cuba memenangkan hawa nafsu.

Kumpulan pengamal seks songsang, homoseksual baru-baru ini meraikan kemenangan mereka apabila Mahkamah Tinggi Amerika Syarikat memutuskan bahawa undang-undang negara itu telah mengiktiraf perkahwinan sejenis menyertai 50 negara yang lain di dunia ini. Dalam perbicaraan pada hari Jumaat lepas, keputusan 4-5 oleh para hakim telah dicapai sekaligus membatalkan undang-undang di peringkat negara yang melarang perkahwinan sama jantina itu di seluruh negara. Sementara itu di White House Rose Garden selepas keputusan mahkamah dibuat, 

Presiden barrack Obama yang berucap di hadapan media berkata, "Negara kita diasaskan dengan prinsip bahawa kita semua dicipta sama rata. Setiap generasi mahukan sesuatu perkara itu disesuaikan dengan realiti yang berubah mengikut masa," katanya. "Hari ini adalah langkah besar dalam usaha kita menuju kesama rataan. Pasangan gay dan lesbian sekarang memiliki hak untuk berkahwin sama seperti orang lain," katanya sambil menulis hashtag ‪#‎lovewins‬. Ini adalah satu contoh hawa nafsu buas manusia dimenangkan dan diberi kekuatan undang-undang atas nama hak kesama rataan yang menjadi slogan keramat seluruh dunia pada hari ini. Pusingan kali ini dimenangi oleh pemuja-pemuja hawa nafsu. 

Di Malaysia pula sudah muncul generasi pewaris-pewaris pemuja hawa nafsu juga berselimut dalam perjuangan hak kesamarataan. Bermula secara kecil-kecilan tetapi akhirnya nanti akan lebih parah jika pejuang kem yang memenangkan hak Allah tidak bingkas menentang. Memenangkan cara berpakaian ahli gimnastik, memutar belitkan pemahaman tegas Al-Quran terhadap kewajipan menutup rambut ke atas wanita muslimah secara konsisten dari dahulu lagi oleh Sisters In Islam, mempertikaikan etika berpakaian sopan bagi pelanggan di sesetengah agensi berkewajipan. Ini sangat bertentangan dengan firman Allah:

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿٣١

Bermaksud: "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (dari memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya." (An-Nur: 31) 

Sangat celuparnya pejuang-pejuang hawa nafsu manusia memenangkan kem mereka sedangkan kem-kem yang mahu memenangkan agama Allah masih bersuara lembut atas alasan strategi dakwah. maka hukum hakam Al-Quran hanya ditadarus bukan diguna untuk mengurus.Bangunlah Pejuang!

Wallahuaqlam.
Tokanpuakajoran,
Diolah dari Khutbah Jumaat 3 Julai 2015.

RAMADHAN : LANTUNAN MAHABBAH & KASIH SAYANG

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (siri 15)

Ramadhan menjengah hari ke 15 bermakna separuh Ramadhan telah kita lalui dan berbaki separuh lagi untuk diteruskan dengan penuh kesabaran dan menuntut mujahadah yang lebih tinggi. Sepanjang berada separuh masa pertama Ramadhan kali ini berbagai rasa dan sentuhan telah menyapa minda dan lubuk hati kita yang paling dalam.

Perasaan dan sentuhan kemanusiaan yang secara fitrahnya tersisip pada jiwa kemanusiaan antaranya adalah; sifat mengasihi dan pembelas. Manusia yang normal jiwanya akan diliputi sifat ini manakala manusia yang rosak jiwanya akan terdorong bertindak luar kawalan dari sudut lahiriahnya, dengan kelakuan kasar yang tertonjol.Begitu juga jiwanya tidak tenteram dan tidak terukir pun di sudut hatinya sifat kelembutan dan belas kasihan sesama makhluk.Sabda Rasullullah saw yang bermaksud:

“Kasihani dan rahmatilah mereka yang di bumi nescaya kamu dirahmati oleh yang di langit”
(H.R Baihaqi)

Entah mengapa tiba tiba gelora hati ini teringat lawatan saya kurang lebih 10 tahun yang lalu ke sebuah Rumah kebajikan di Johor Baharu. Rumah yang menempatkan orang orang tua dan kurang upaya, menjalani kehidupan sebelum ajal datang menjengah. Sepanjang lawatan kami diberi taklimat oleh pegawai bertugas berkaitan penghuni di penempatan tersebut. Ada penghuni yang dihantar oleh waris dan anak anak dan ada yang sudah tidak mempunya waris serta tiada tempat berlindung. Ada warga emas yang masih dilawati oleh waris dan anak anak dan ada juga yang lansung tidak lagi dipedulikan oleh anak anak dan waris setelah dihantar ke sana.

Kali pertama menyapa penghuni penghuni di sana sebak di hati mula bertandang dan tanpa disedari ada gerimis yang mengundang di kelopak mata rakan rakan dan pelajar pelajar peserta lawatan. Ketika melihat penghuni yang termenung menanti,menunggu dan mengharap wajah wajah insan yang disayangi dan dikasihi menemani dan bermesra tetapi harapan hanya tinggal harapan. Penantian yang tidak membuahkan hasilan.
Lihat pula di sudut lain ketika pelajar pelajar saya menyapa mereka dengan menyalami dan menciumi tangan mereka, pada kedut wajah mereka bagai tercermin satu keinginan yang tidak kecapaian. Bahkan juraian airmata mereka bagaikan menggodam gelodak jiwa, alangkah indahnya andai yang menyantuni dan menyalami serta mencuimi mereka itu adalah anak anak dan cucu cucu mereka. Namun rasa itu hanya keindahan yang sementara.

Hati bertambah sayu apabila kami mendengar penjelasan, ada di kalangan anak anak yang menghantar ibubapa mereka ke sana atas alasan kesibukan dan tidak mempunyai masa menguruskan ibubapa mereka. Aduhai hati…. Alangkah baiknya kalau seluruh khalayak merenung hakikat dan sunnatullah yang direncanakan. Seluruh kita akan melalui detik dan ketika itu. Allah mengingatkan menerusi FirmanNya yang bermaksud:

“Allah, dialah yang menciptakan kamu dari keadaan lemah, Kemudian dia menjadikan (kamu) sesudah keadaan lemah itu menjadi kuat, Kemudian dia menjadikan (kamu) sesudah Kuat itu lemah (kembali) dan beruban. dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan dialah yang Maha mengetahui lagi Maha Kuasa.”

(Ar Rum : Ayat 54)

Ramadhan yang datang ini sewajarnya menjadi medan mengajar kita untuk menghormati dan mengasihi mereka yang tua. Sesuatu yang perlu kita ingat beberapa asas yang mesti kita sedari kenapa warga emas ini perlu dijaga dan diberi perhatian serta tidak boleh diabaikan antaranya:

1. Insan itu adalah makhluk yang dimuliakan dan kedudukannya dimuliakan di dalam Islam, buktinya Allah memerintahkan Malaikat untuk sujud sebagai tanda “ihtirom”( penghormatan )setelah di ciptakan. Firman Allah swt yang bermaksud:

“(Ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku akan menciptakan manusia dari tanah".Maka apabila Telah Kusempurnakan kejadiannya dan Kutiupkan kepadanya roh (ciptaan)Ku; Maka hendaklah kamu tersungkur dengan bersujud kepadanya".Lalu seluruh malaikat-malaikat itu bersujud semuanya,”

Surah Saad :Ayat 71-73

2. Masyarakat Islam itu adalah masyarakat yang terkenal dengan budaya menghormati dan berkasih sayang serta bertimbang rasa.Firman Allah swt yang bermaksud:

“Dan dia (Tidak pula) termasuk orang-orang yang beriman dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang.”

Al balad ;Ayat 17

Rasullullah mengajar kita perihal seorang muslim itu menerusi sabdanya yang bermaksud:

“Perumpamaan orang Islam yang saling mengasihi dan mencintai satu sama lain adalah ibarat satu tubuh,Jika salah satu angota tubuh merasa sakit,maka seluruh tubuh akan ikut merasa sakit dan demam (tidak boleh tidur)”

(Sahih Bukhori)

3. Balasan kebaikan itu adalah merupakan kebaikan juga.

Firman Allah swt yang bernaksud: “Tidak ada balasan kebaikan kecuali kebaikan (pula).”

(Ar Rahman :Ayat 60)

4. Orang tua mukmin itu ada kedudukan di sisi Allah ,tiadalah bertambah umurnya melaikan kebaikan.Sabda Rasullullah saw yang bermaksud:

“Janganlah salah seorang kamu bercita cita untuk mati dan jangan berdoa untuk mati sebelum tiba waktunya, Bahawa sanya jika mati salah seorang kamu terputuslah amalannya dan bahawa sanya tidaklah bertambah umur seseorang itu melainkan kebaikan”

(Sahih Muslim)

Semoga Madrasah Ramadhan mendidik kita dengan sifat penyayang dan mengasihi sesama makhluk terutama orang tua. Ingatlah mereka yang tidak mengasi tidak akan dikasihi. Mari sejenak kita berfikir dan merenung jauh andai warga emas hari ini di abaikan bagaimana keadaan mereka,apatah lagi mereka itu adalah ibu dan ayah kita. Santunilah mereka sementara ada kelak nanti kita di posisi mereka akan adakah yang akan sudi menyapa dan menyantuni kita.


ABD WAHID BIN ZAINOL ABIDIN
Lajnah Tarbiah & Kepimpinan PKHL
15 Ramadhan 1436
Tazkirah juga boleh diikuti di
http://islampenyelesaian.blogspot.com
Page www.facebook.com/islampenyelesaianku

Mengintai Teduhan Rahmat

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (SIRI 14)

Ramadhan semakin berlalu,hari ini menjengah hari ke 14 kita berpuasa dan bermakna telah hampir separuh Ramadhan kita lalui. Sepanjang melalui persekolahan Ramadhan ini diri yang di belai,jiwa yang di asuh dan roh yang diterapi wangian iman serta hikmah amat menyegarkan bagi pemburu takwa.Aqidahnya semakin mantap,ibadahnya semakin bersemangat dan akhlaknya semakin sempurna sebagai bekalan bertamu di kemudian hari.

Bila mata tertancap pada rimbunan pohon asuhan Ramadhan ini hati lantas teringat pesanan Rasullullah menerusi sebuah hadith yang bermaksud:

Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: 7 golongan yang akan dilindungi Allah swt di bawah bayangan rahmatNya pada hari yang tiada bayangan selain daripada bayangan rahmatNya iaitu:

Pemerintah yang adil. Pemuda yang menggunakan masa muda remajanya untuk beribadat kepada Allah. Lelaki yang hatinya sentiasa terpaut kepada masjid. Dua orang yang berkasih sayang antara satu sama lain kerana Allah. Mereka berkumpul dan berpisah kerana Allah. Lelaki yang digoda oleh wanita bangsawan dan jelita, lalu dia berkata: “Sesungguhnya saya takut kepada Allah”.Seorang yang memberi sedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak tahu sedekah yang diberikan oleh tangan kanannya. Lelaki yang mengingati Allah berseorangan sehingga berlinangan air matanya.
(Hadith Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Merenung hadith ini, melontarkan satu ingatan penting untuk dihayati dan difikirkan sejauhmana setiap khalayak muslim mempedulikan agenda yang disarankan oleh Rasullullah saw.

Pemerintah Yang adil

Adakah kita peduli dengan saranan kepada mereka yang bergelar pemerintah. Keadilan perlu menjadi agenda wajib bagi mengelakkan diri terpinggir dari rahmat Allah. Sebagai pemerintah usah hanya memikirkan soal mendapatkan sokongan tanpa mempedulikan tanggungjawab yang sewajarnya ditunaikan. Tugas pemerintah ini adalah tugas yang berat,kegagalan untuk berfungsi sebagai pemerintah bercirikan muslim rabbani dengan celupan Allah akan mengakibatkan kesengsaraan bila bertemu di mahkamah Allah swt.

Pemuda yang sentiasa beribadat

Kepada generasi muda satu perkara yang perlu diingati kematian tidak semestinya menjelang hari tua. Justeru ibadah tidak boleh ditunda dan ditangguh kerana menunda dan menangguh ibadah ada seruan syaitan yang penuh dengan pengkhianatan. Pergunakan sepenuhnya masa muda dengan kekuatan yang ada untuk melipatgandakan ibadah kepada Allah swt, jangan nanti kesibukan,kekuatan dan tenaga yang semakin susut baru sedar ingin beribadah. Pemuda yang sudah melazimi kehidupan dengan ibadah akan membuahkan istiqomah yang sukar diganggu gugat.Apatahlagi masa muda yang mencabar ini,andai ibadah menjadi pengganti kecelaruan identiti diri maka selesailah kemelut yang melanda generasi.

Lelaki pendamping masjid

Masjid adalah rumah Allah dan tempat suci dan mulia tidak sewajarnya dibiarkan sepi tidak berpenghuni. Kemeriahan dan imarahnya masjid akan bererti, dengan dampingan lelaki lelaki soleh sebagai syiar kekuatan Islam. Suasana perkembangan dunia dengan seribu macam tarikan amat menggoda naluri manusia untuk mendakap keseronokan tersebut. Alangkah indahnya andai jiwa jiwa yang terasuh dengan fitrah itu tempat bertandangnya adalah rumah Allah bukan pusat hiburan, kedai kopi dan kelab kelab serta destinasi lainnya.

Berkasih sayang kerana Allah

Dunia yang semakin mencabar melahirkan ramai manusia yang hilang kejujuran. Ada manusia yang bersahabat namun jiwanya dinodai ketidak ikhlasan dan menguak ruang dalam tindakannya ketidakjujuran serta mengambil kesempatan atas kebaikan orang lain. Justeru memautkan setiap persahabatan atas ikatan kasih sayang kerana Allah swt adalah anugerah terpilih dimiliki oleh insan insan terpilih pula. Leburkanlah hipokrit dalam persahabatan dan sedarlah di sana ada lilitan jujur dan ikhlas yang akan meneguhkan gabungan insaniah menuju redha Tuhan.

Tidak tergoda & Takutkan Allah

Godaan semengnya ujian yang akan dilalui oleh manusia yang melalui jalan menuju Allah swt.Kekuatan menahan dugaan adalah kekuatan yang mesti di perteguhkan setiap masa. Rasa takut dan bimbang terhadap hukuman serta kemurkaan Allah swt adalah bekalan azimat untuk melepaskan diri dari terjebak dengan godaan. Elakkan dari permulaan yang mengkhayalkan selanjutnya menumpaskan iman dan melunaskan kehendak nafsu. Bermula jelingan lantas menyelinap keinginan . Keinginan membuahkan sapaan dan tegur teguran. Sapaan menitipkan undangan untuk bergandingan. Gandingan merebahkan diri dalam dakapan maksiat tidak berpedoman.Larilah dari hasutan menuju ribaan Tuhan.

Keikhlasan bersedekah

Ramai yang merasakan kemuliaan dan keagungan dengan banyaknya harta yang dikumpul. Namun ianya satu kesilapan. Bukankah Allah menjelaskan

“sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu ialah yang paling bertaqwa”

Rugi bagi mereka yang mengumpulkan harta tetapi berasa bangga dengan banyaknya harta dan tidak didermakan serta dibelanja di jalan taqwa. Berbelanjalah dan menderma serta infaklah.Namun tiada guna juga belanja,derma dan infak yang tidak didakap keikhlasan.

Mengingati Allah

Mengingati Allah sepanjang masa adalah satu kesukaran bagi pencinta dunia dan pengejar maksiat. Namun Allah swt yang maha Pemurah dan Penyayang melebarkan ruang kurniaan dan rahmatNya. Allah mencampakkan rasa insaf dan taqarrub kepada sesiapa yang diingini di kalangan hambaNya. Beruntunglah bagi mereka yang merasa syahdu kasih, mendamba khusyuk kepada Tuhannya. Sekalipun diri bersalut noda, keinsafan dan rasa ingin kembali ke jalan taqwa tidak sedikit mengundang cela pada sisi Allah swt. Rapatlah,dampinglah,pohon dan rayulah sementara hari masih berbaki, usia masih bersisa.

Bersama rahmatMu diperlembahan Ramadhan ini berikanlah kami keupayaan dan kesungguhan melunasi pesanan RasulMu ini. Semoga kami antara penghuni yang berlindung di bawah lembayung RahmatMu itu.
Amin.

ABD WAHID ZAINOL ABIDIN
Lajnah Tarbiah & Kepimpinan PKHL
14 Ramadhan 1436
Tazkirah juga boleh diikuti di:
http://islampenyelesaian.blogspot.com
Page : www.facebook.com/islampenyelesaianku

Ramadhan : Koreksi antara 2 sistem

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (siri 13)


Seluruh warga madrasah Ramadhan yang terlibat secara lansung atau tidak dengan dengan media baru pasti mengatahui dan mengambil tahu kisah kanak kanak 5 tahun yang didera oleh ibutiri dan ayah kandungnya sendiri. Laporan hari ini menyebutkan kanak kanak tersebut berhadapan dengan kecacatan kekal dan trauma yang teruk. Ini adalah sekelulit contoh kegilaan manusia yang hidup dalam system yang gagal.

Islam hanya mengenal dan mengiktiraf dua jenis masyarakat sahaja di dunia ini iaitu masyarakat Islam dan masyarakat jahiliyah. Masyarakat Islam adalah mereka yang meyakini dan mematuhi tanpa ragu segala peraturan Allah swt manakala masyarakat jahiliyyah adalah mereka yang mengambil dan meyakini sistem yang selain Islam.

Seringkali orang merujuk masyarakat jahiliyyah itu kepada zaman sebelum Nabi diangkat menjadi Rasul dan hanya merujuk kepada persempadanan sempit bumi Mekah dan Jazirah Arab sahaja. Bahkan jahiliyyah itu hakikatnya melata di sepelusuk dunia apabila ada unsur penentangan,penafian,pengabaian dan keraguan kepada system Allah. Bahkan jahiliyah itu boleh menetas dalam rumah kita sendiri.

Kebejatan dan kelicikan fahaman falsafah sesat telah memperlihatkan jahiliyyah ini seolah olah makanisma soleh dan serasi dengan Islam. Tiadak hairanlah pada zaman kemasukan dan peresapan falsafah dalam masyarakat Islam, ada di kalangan ulama yang mengecam dan menghalang penterjemahan buku buku falsafah kerana menyedari kebejatan dan durjananya falsafah yang menyesatkan.

Kecalaruan pemikiran ini menjadikan sesebuah institusi dalam masyarakat Islam akan gagal.Hakikat yang mesti disedari masyarakat jahiliiyah itu boleh terbentuk dalam berbagai cara dan bentuk.

a) Ada yang berbentuk masyarakat yang engkar sama sekali akan wujudnya Zat Allah swt dan membuat tafsiran secara benda terhadap sejarah, melaksanakan system yang disebutkan sebagai “sosialisma saintifik” sebagai panduan hidup.

b) Ada pula yang berbentuk masyarakat tidak engkar dengan wujudnya Zat Allah swt,tetapi menghadkan kuasa Allah swt dalam urusan yang bersangkut dengan akhirat sahaja dan enggan mengiktiraf kuasa Allah dalam urusan hidup di dunia.

[sayid qutb ;Petunjuk sepanjang jalan]

Masyrarakat ini enggan menjadikan undang undang Allah dan peraturannya serta syariatNya sebagai panduan. Mereka tidak sudi pun mengambil nilai nilai Islam sebagai pedoman dalam mengukur sesuatu. Lantas lahirlah golongan yang apabila disebut “Perjuangan kita kerana mencari redha Allah” dilihat dan dipandang oleh mereka sebagai jenaka yang perlu dihadiahkan dekah ketawa. Inilah golongan yang terkeliru dengan hadaf dan matlamat kerana perjuangan mereka diasas dan dilandaskan kepada “maddiyah dan benda”(kebendaan dan material).

Allah telah mengingatkan kata kunci asas untuk diimani oleh manusia diseanterio alammaya yang bermaksud:

“ Dan dialah Tuhan (yang disembah) di langit dan Tuhan (yang disembah) di bumi dan Dia-lah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.”

Az zukhruff :ayat 84

Memahami sistem Allah swt yang berbentuk “tauqifi’ dan “taufiqi” antara elimen masyarakat Islam itu ialah apabila terjelma sistem “keluarga” .Apabila keluarga menjadi kaedah utama dalam pembentukan masyarakat; dan keluarga dibina di atas pembahagian tugas antara suami isteri,pembahagian tugas dalam melaksanakan kerja,serta keluarga itu memberi perhatian penuh kepada masalah pembentikan generasi baru dan pendidikan anak anak; maka masyarakat itu menjadi masyarakat yang bertamadun kerana keluarga dalam bentuk dan “patern” ini ( dilindung di bawah lindungan program Islam) adalah merupakan tapak dan pengkalan dalam mana nilai nilai kemanusiaan itu diproses, dibentuk dan dilentur serta dipupuk.Gunanya supaya menjadi panduan generasi muda ,sebab nilai nilai itu tidak mungkin diproses dan dibentuk kecuali dalam unit sebuah keluarga.

Persoalannya adakan proses ini akan berjalan jika institusi ini sudah rosak kerana pemahaman terhadap Islam itu sekadar tempelan dan bukan asas yang utama. Bersama kehadiran Ramadhan bulan yang merupakan medah mensucikan jiwa dan pemikiran untuk kembali kepada kebenaran iman dan takwa marilah kita mengkoreksi diri dan bermuhasabah kerana bimbang kita adalah antara watak sesat dan terseleweng dari kebenaran. Firman Allah swt yang bermaksud:

“Dan Katakanlah: "Segala puji bagi Allah yang tidak mempunyai anak dan tidak mempunyai sekutu dalam kerajaan-Nya dan dia bukan pula hina yang memerlukan penolong dan agungkanlah dia dengan pengagungan yang sebesar-besarnya.”
Al Israa :ayat 111


ABD WAHID ZAINOL ABIDIN
Lajnah Tarbiah & Kepimpinan PKHL
13 Ramadhan 1436
Tazkirah juga boleh diikuti di:
http://islampenyelesaian.blogspot.com
Page : www.facebook.com/islampenyelesaianku

Ramadhan : Mengimbau Nostalgia 926

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (SIRI 12)

Penantian Bas bernombor 926 Dari “Hayyu Saiek” ke “ Hussain” benar benar mencabar kesabaran. Mahatthah (perhentian) haiiyu sabiek saban hari setia menjadi tempat penantian melenguhkan kebanyak pelajar Asia Tenggara terutamanya pelajar Malaysia. Setiap pagi kelihatan berpusu pusu pelajar dari Kedah,Perak,Terengganu,Pulau Pinang dan lainnya menanti ketibaan kenderaan lagenda (bas pengangkutan kaherah bernombor 926) bagi penuntut Malaysia yang mendiami permukiman ilmu di bumi kaherah.

Setelah sekian lama menanti, bas 926 menguakkan pintu untuk setiap penanti menerobos masuk ke perutnya.Tempat duduk belum tentu dapat tapi meloloskan diri untuk masuk adalah keutamaan. Anak anak kecil,orang tua, capek dan bertongkat termasuk muslimat juga, tua dan muda semua ingin menempatkan diri ke dalam kenderaan penuh sejarah ini hanya tujuan menuju “maidan hussain” tempat terletaknya Universit Al Azhar yang penuh sejarah gemilang itu.

Setiba di persimpangan “Kulliah Banat” di Madinah Nasr kapasiti 926 agak reda kerana siswi siswi telah tiba di destinasi. Namun mengharapkan kerusi kosong tidak kecapaian jua kerana keutamaan untuk ibu ibu tua yang di tangan mereka beban beban sampingan,kadang kadang termasuk sayur sayuran,ayam dan itik bahkan tong gas juga dipikul bersama.

Sesak dan padat penumpang 926 menyusuri jalan kota kaherah yang menyaksikan lorong lorong di jalan sudah tidak teratur lagi terutama pada waktu perdana sudah menjadi kebiasaan anak anak Malaysia sepanjang tempoh di permukiman ilmu ini. Cuma dalam sesak dan padat kota menyaksikan warga kaherah mempunyai suatu budi yang tersembunyi. Kesabaran menempuh hidup dan mencabar dengan penuh “tasamuh”(bertolak ansur). Walaupaun terkadang “tasamuh “ itu ternoda jua.

Tidak hairanlah jika sepanjang penjalanan itu kedapatan ada warga kota yang menghuni kawasan kawasan perkuburan dan jambatan jambatan sebagai tempat istirehat melempias kantuk malam mereka. Hidup di kota yang penuh sesak tidak menjanjikan keselesaan sehebat istana sebaliknya sekadar mengalas perut menana lapar dahaga.

Hidup yang menekan kadang kadang menjadikan mereka sensitive, kadang kadang menjadi pemarah dan tidak kurang juga mereka menjadi manusia yang terlalu menghargai kurniaan tuhanNya. Pernah sekali ketika lengun menanti 926 keroncong perut saya perlu diisi. Apa yang mudah mendapatan makanan tradisi mesir ‘tokmiyah” kombinasi roti baladi (roti kampong),telur dan sayur amat menyelerakan di kala keroncong perut menjengah. Namun peristiwa itu mengajar saya, sebiji tokmiyah tidak dapat saya habiskan lantas saya campakkan sisinya di birai jalan berhampiran perhentian bas. Lantas tiba - tiba bahu saya disentuh dan degusan dan omelan seorang pak cik tua yang tidak berpuas hati terhadap saya. Pakcik Itu mengutip sisa sisa makanan yang saya buat, di bungkus menggunakan kertas dan diletakkan dengan sopan dalam tong sampah. Pakcik itu menegaskan perbuatan saya itu tidak bersopan kepada rezki. Saya terkesima dan pas selepas ini saya akan berhati hati dalam tingkah laku walaupun hal itu terlu remeh jika dikenang.

Perjalanan 926 mengajar erti pengorbanan warga kota terutama terhadap ibu ibu tua dan dan warga kurang upaya. Sehingga ke hari ini mata ini masih belum lekang dari satu kejadian yang disaksikan ketika 926 menghampiri Hospital Al Azhar. Keadaan yang jarang sekali dapat disaksikan seorang anak mendokong dan menggendong ibunya untuk mendapatkan rawatan di hospital. Seorang anak menyuapkan makanan dan minuman kepada ayahnya di perhentian bas dengan penuh perhatian. Wajah wajah ini terpamir menerusi jendela 926.

Istimewa menjadi penumpang 926 sekira kira 5 tahun menyaksikan fenomena janggal jika berlaku di bumi kita Malaysia. Ketika Ramadhan terutamanya kelihatan sosok yang sedang menanti, menjadikan Al Quran sebagai teman dan dampingan mereka. Biarpun dalam keadaan berdiri penuh sesak serta tiada keselesaan mereka masih sempat menekuni Al quran sebagai agenda kebiasaan. Lewat Ramadhan ini terasa kerinduan itu terlalu menggamit.

Menerusi jendela 926 juga menggamit kenangan yang amat sukat dilupakan, perihal orang Arab Mesir yang berbadan sasa tegap namun kemesraan mudah menjelma. Namun dalam mesra dan ramah mereka, amarah kadang kadang bermaharajalela. Menyaksikan pergaduhan ngeri di kalangan meraka juga menjadi kebiasaan.Berbekal batang besi dan kayu bersegi mereka bergaduh yang mengundang bimbang buat warga Asia Tenggara yang amat penyantun ini. Namun dalam pergaduhan yang membimbangkan tu dapat diredakan hanya dengan kalimah “Sollu Alan Nabi” pihak yang bergaduh kembali berdamai dan berdakap erat. Benarlah dalam kasar itu ada kelembutan yang mengikat. Kasar dank eras hati manusia diikat dengan kelembutan aliran air iman dan hembusan bayu taqwa.

Mencoret nostalgia 926 tidak akan menemui noktahnya sesingkat masa. Terlalu bernilai dan banyak sekali ibrah dan sentuhannya. Benarlah apa yang di Allah firmankan kepada hambanya untuk menjelajah dan berjalan di muka bumi ini meihat kehidupan dan tinggalan sejarah sebagai pedoman dan pengajaran.

Firman Allah swt yang bermaksud:

“Oleh itu, Bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya - Dengan melihat kesan-kesan Yang tersebut - mereka menjadi orang-orang Yang ada hati Yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga Yang dengannya mereka dapat mendengar? (tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan Yang sebenarnya bukanlah mata kepala Yang buta, tetapi Yang buta itu ialah mata hati Yang ada di Dalam dada.”

Al haj :ayat 46

Selamat Meneruskan Ibadah Ramadhan dengan penuh keinsafan

ABD WAHID ZAINOL ABIDIN
AZ Zahrah Hulu Langat
12 Ramadhan 1436
Tazkirah juga boleh diikuti di http://islampenyelesaian.blogspot.com
Page www.facebook.com/islampenyelesaianku

Kamis, 25 Juni 2015

Doakan Sahabat Ini...

TAZKIRAH RAMADHAN 1436 (siri 8)
 
Ramadhan: Dugaan dan keampuhan doa
Mac 2009 mencatat satu sejarah duka dalam kehidupan saya 5 bulan setelah kembalinya ayahanda ke Rahmatullah kami sekeluarga dikejutkan dengan pemergian adinda saya pada ketika itu berumur 33 tahun. Beliau pergi dalam keadaan tidak mengidap sebarang penyakit,tiba tiba jatuh di majlis persiapan kenduri perkahwinan.Beliau tidak sedarkan diri dan doktor mnegesahkan berlaku pendarahan dalam kepala. Seluruh keluarga dirundung sedih dan sayu apatahlagi mengenangkan 3 anak anak yang masih kecil.Keadaan bertambah kritikal apabila doktor yang terlibat merawat beliau memaklumkan pembedahan tidak dapat dilakukan kerana keadaannya terlalu kritikal dan peluangnya terlalu tipis. Tiga hari bertarung nyawa dengan kepakaran manusia yang terbatas adinda saya menghembuskan nafas terakhir dan seluruh keluarga menerima ketentuan itu dengan redha.

Hari ini 8 Ramadhan, kotak masej wassap saya digegarkan dengan berita yang hampir sama berlaku kepada sahabat sepengajian di ardil kinanah dahulu saudara Muhammad kamal Salleh tenaga pengajar di SARJANA Kg Gajah Perak.Beliau dalam rencana membawa nak beliau mendapatkan rawatan jantung di IJN 2 hari lepas, setelah sampai di Kuala Lumpur beliau barangkali dalam keadaan keletihan diserang minor stroke. Seluruh rakan taulan terkesima dengan berita sayu ini.

Bagi saya kenangan 6 tahun lalu kembali merentap tangkai jantung saya.Kotak mesej tidak sanggup saya buka apatah lagi wajah sahabat yang dikirim dalam keadaan terbaring di katil hospital benar benar mengimbau kembali wajah adinda saya ketika dirawat dalam tempoh 3 hari dihospital dalam keadaan kritikal tersebut.Hati bagai tidak sanggup menerima perkhabaran dukacita.Namun jika suratan menentukan apa daya upaya untuk kita menolak rencana Yang Maha kuasa.

Semalam sekitar jam 11.50 malam tadi saya jengah kotak masej wassap saya dan ada berita dan perkembangan terbaru.Beliau selamat menjalani pembedahan dan menurut sahabat keadaannya 50-50. Hati saya berkata nasibnya agak baik berbanding adinda saya yang terlalu kritikal dan sebarang pembedahan tidak dapat dilakukan.

Kini seluruh sahabat handai merencana peduli untuk membantu sekadar yang perlu untuk membantu anak anaknya yang masih kecil dan dalam keadaan mengidap sakit pula.Apa yang paling perlu adalah pengharapan dan munajat tidak putusd putus mesti di panjatkan ke hadrat Allah swt agar ketentuan terbaik dilimpahkan kepada sahabat kami ini.

Kehadiran Ramadhan bersama ujian ini boleh sahaja berlaku, tidak kira siapa pun kita orang biasa atau insan ternama.kalau ini sebahagian kisah kisah perjalanan hamba yang berlaku di sisi kita, di sana dan di luar sana ribuan dan jutaan lagi manusia sedang bertarung dengan ujian dan ibtilak ini.Namun isinya apakah kita meletakkan apa yang berlaku ini pada kedudukan pengharapan yang jitu pada pencipta atau sebaliknya.

Kesempatan ini saya ingin mencuri perhatian saudara saudara khalayak semua untuk kembali merafak sembah kehadrat Rabbul Jalil dan merenung keampuhan doa.Sedarlah Allah yang maha pemurah tidak akan pernah jemu mendengar rintihan hambaNya.Dia berada hampir dengan kita mendengar dan mendengar dan terus setiap ulas bisikan dan pengharapan hambaNya.
Firman Allah swt yang bermaksud:

“ Dan apabila hamba hamba Ku bertanya kepadamu tentang Aku,maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat.Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada Ku,maka hendaklah mereka memenuhi(segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran”

(Al baqarah ;Ayat 186)

Semoga Allah menyembuhkan sahabat saya yang sedang dirawat sekarang dan sentiasa mendapat rahmatnya daripadaNya.Begitu juga semoga ahli keluarga bersabar atas musibah yang melanda. Bersama ramadhan ini semoga seluruh kita juga dipayungi Rahmat Allah yang tidak kunjung henti Insyaallah.

ABD WAHID ZAINOL ABIDIN @ ABU AFAF
Az Zahrah,Hulu Langat
8 Ramadhan 1436

Sabtu, 05 Juli 2014

Selamat Menjalani Ibadah Puasa

SELAMAT DATANG RAMADHAN!

Ramadhan datang lagi, Alhamdulillah syukur tidak terhingga ke hadrat Allah SWT kerana kita dapat bertemu lagi dengan Ramadhan pada tahun ini.

Ramadan, hadirnya dirindui dan dinanti-nantikan oleh orang yang beriman dan perginya akan ditangisi oleh mereka. Ramadan membawa seribu makna, sarat dengan kemuliaan dan keistimewaan. Jika manusia mengerti akan kelebihan Ramadan sudah tentu mereka tidak mahu berpisah dengannya.

Hadirnya Ramadan dengan keberkatan, kedamaian dan ketenangan. Memasuki gerbangnya kita dapat merasai perubahan pada diri dan menyaksikannya dengan rasa keimanan dan kesyukuran.

Walaupun Ramadan memberi gambaran kepada suasana yang panas dan kering namun oleh sebab ibadah ini ditunaikan dengan iman dan taqwa maka segala dugaan menjadi lenyap demi memikul amanah dan tanggungjawab yang telah ditaklifkan Allah SWT kepada umat Islam.

Ya Allah! Keagungan dan KebesaranMu adalah segala-galanya bagi mereka yang bergelar hambaMu. Syukur yang tiada taranya dari hambaMu kerana dipertemukan sekali lagi dengan Ramadan, bulan mulia dan penuh barakah.

KEWAJIPAN BERPUASA
Firman Allah SWT:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

O ye who believe! Fasting is prescribed for you , even as it was prescribed for those before you , that ye may ward off evil ) ;

信道的人们啊!斋戒已成为你们的定制,犹如它曾为前人的定制一样,以便你们敬畏。
(al- Baqarah: 183)

Ayat ini menunjukkan bahawa Puasa itu adalah wajib dan salah satu daripada Rukun Islam.

PENGERTIAN PUASA

Dari sudut bahasa - Menahan diri daripada sesuatu

Dari sudut Istilah – Menahan diri daripada makan dan minum dan mengelakkan darpada melakukan perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sadiq sehingga terbenam matahari yang disertakan dengan niat.

PUASA YANG SEMPURNA

Menurut definisi puasa, jika kita menahan diri daripada perkara membatalkannnya maka kita dikira berpuasa dan dari segi hukumnya puasa kita adalah sah.

Perlu diingat, bagi mencapai kesempurnaan puasa tersebut bukan hanya sekadar menahan makan dan minum malah kita perlu memelihara segala hukum yang melibatkan sah dan batalnya juga.

Hadith Rasulullah SAW, maksudnya:

“Ramai orang yang berpuasa tidak mendapat sesuatu dari puasanya selain lapar dan dahaga”
(HR Ibn Majah & Nasaie)

AWASI DAN PELIHARALAH KESEMPURNAAN PUASA

Antara perkara yang mesti diambil perhatian: Mata berpuasa dengan tidak melihat sesuatu yang mungkar dan menimbulkan dosa, Telinga berpuasa hanya mendengar yang baik-baik, Lidah berpuasa hanya melafazkan perkataan yang membawa kebaikan.

Elakkan daripada mengeji, menghina, mengumpat, berbohong, bersaksi palsu, mencarut, menyumpah dan pelbagai dosa lidah yang lain.

Hati disucikan daripada sebarang bentuk penyakit hati seperti riya’, dendam, iri hati, benci sebaliknya. Hiasilah hati dengan sifat-sifat mahmudah seperti ikhlas, tawadhu’, sabar, cintakan kebaikan dan sebagainya.

Tangan hanya untuk menyentuh perkara yang halal sahaja. Pastikan langkah kaki hanya menuju destinasi yang baik dan betul.

PUASA MESTI DENGAN NIAT

Puasa fardhu ini perlu dimulai dengan niat pada sebelah malamnya atau sebelum tamat waktu Imsak.


Lafaz niat sehari /setiap malam:

Lafaz setiap malam. Niat ringkas:
نَوَيْتُ صَوْمَ رَمَضَانَ لِلَّهِ تَعَالَى

Niatnya: Sahaja aku puasa Ramadhan kerana Allah Taala.

Lafaz lengkap:
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى

Niatnya: Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.

Sebenarnya bangun untuk bersahur itu sudah dikira berniat untuk berpuasa.

Lafaz niat puasa Ramadhan sepenuhnya untuk sebulan:

Lafaznya:
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كِلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى
Niatnya: Sahaja aku berpuasa sebulan Ramadhan tahun ini kerana Allah Taala.

Waktu Berniat

Waktu berniat bermula daripada terbenam matahari, yakni masuk waktu sembahyang fardhu Maghrib hinggalah sebelum terbit fajar shadiq (waktu Subuh). Oleh itu, bolehlah dilakukan niat puasa pada mana-mana bahagian daripada waktu tersebut, walaupun semasa berbuka.

Digalakkan berniat puasa untuk sebulan dengan sekali niat pada malam pertama Ramadhan bagi mengelakkan daripada tidak sah puasa kerana terlupa berniat pada malamnya, kita mengikut Imam Malik yang membolehkan berniat untuk sebulan sekali gus.

Namun begitu, jika puasa Ramadhan kita terputus oleh sesuatu sebab, seperti haidh, sakit atau lain-lain, maka niat puasa sebulan itu tidak lagi memadai untuk hari-hari puasa yang seterusnya, tetapi, hendaklah diperbaharui niat apabila tidak ada lagi perkara yang menghalang daripada puasa berturut-turut tersebut. Maksudnya, dengan memperbaharui niat sekali lagi bagi semua hari-hari puasa Ramadhan yang berbaki, iaitu niatnya:

Sahaja aku berpuasa esok hari untuk menunaikan fardhu Ramadhan pada tahun ini kerana Allah Ta'ala.

Bagi orang yang solat tarawih di masjid, Imam biasanya akan berniat puasa sebelum bersurai. Jika kita turut serta berniat, sudah memadai dan tidak perlu mengulangi lagi niat ketika bersahur.

Ibubapa melatih anak-anak berniat bersama-sama sebelum tidur supaya tidak terlupa di samping dapat mewujudkan rasa kekitaan dan seronok dalam beribadah.

ORANG YANG WAJIB BERPUASA

Islam, Baligh, Berakal, Bebas daripada uzur syarie*

*Uzur syarie yang menegah daripada puasa ialah: Haid Nifas Pitam sepanjang hari

*Uzur syarie yang mengharuskan berbuka puasa ialah: Sakit yang boleh memudharatkan jika berpuasa Bermusafir melebihi dua marhalah Tidak mampu berpuasa disebabkan sakit tua atau penyakit yang tiada harapan untuk sembuh.

TERBATAL PUASA

Jika berlaku salah satu perkara berikut maka puasa akan terbatal:
Makan dan minum dengan sengajasa walaupun sedikit. 
Firman Allah SWT: 
 كُلُواْ وَاشْرَبُواْ حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ثُمَّ أَتِمُّواْ الصِّيَامَ

Maksudnya: “Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib)".

(al- Baqarah: 187)

Sekiranya seseorang itu makan secara tidak sengaja misalnya terlupa bahawa dia sedang berpuasa maka puasanya tidaklah menjadi batal namun dia berlu berhenti makan atau minum dengan serta merta.

Keluar haid dan nifas
Wanita yang dalam keadaan haid dan nifas ditegah daripada berpuasa. Jika sedang berpuasa dan darah haidnya keluar sebelum sampai waktu berbuka maka terbatalah puasanya dan mereka perlu mengantikan (qada’) puasa itu pada hari lain..

Muntah dengan sengaja

Muntah dengan sengaja .Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

“Sesiapa yang muntah secara tidak sengaja maka tidak ada qada baginya dan sesiapa sengaja muntah hendaklah ia mengqadakan puasanya.”

(HR Abu Daud, Tirmizi dan Ibnu Hibban)

Bersetubuh pada siang hari

Bersetubuh pada siang hari ketika berpuasa dalam bulan Ramadan akan membatalkan puasa. Firman Allah SWT:

 أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَى نِسَآئِكُمْ هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ
Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bersetubuh dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.”

(al-Baqarah: 187)

Selain daripada perkara-perkara yang tersebut di atas perkara berikut juga turut menyebabkan puasa terbatal:
Pengsan,Perempuan yang melahirkan anak ,Mengeluarkan mani dengan sengaja,Gila,Memasukkan sesuatu ke dalam rongga.(kategori rongga ialah; mulut, hidung, telinga, dubur dan kemaluan), dan Murtad .

PERKARA MAKRUH DILAKUKAN KETIKA BERPUASA

Berkumur berlebihan,Merasa makanan dengan lidah,Tidur sepanjang hari,Menggosok gigi selepas gelincir matahari,Mandi terlalu kerap dan lama .

PERKARA-PERKARA  SUNAT DILAKUKAN BAGI MENCAPAI KESEMPURNAAN PUASA

Segera berbuka ketika telah nyata dan yakin terbenamnya matahari

Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Manusia sentiasa dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka puasa.”

(HR al-Bukhari dan Muslim) 

Kadar segera yang dimaksudkan ialah apabila terbenam matahari atau masuk waktu maghrib namun sesetengah orang alim berpendapat kadar segera itu dibolehkan sehingga selesainya laungan azan maghrib. Bagi menghormati azan juga dia dikira mendapat pahala juga.

Bersahur

Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Sahurlah kamu sebab pada sahur itu terdapat keberkatan.”
(Muttafaq alaih)

Berbuka dengan buah tamar atau kurma. 

Disunatkan berbuka dengan buah tamar dengan mengambil bilangan yang ganjil. Jika tiada tamar disunatkan bermula dengan segelas air zam-zam atau air sejuk, jika tiada bahan-bahan tersebut disunatkan mendahului dengan makanan-makanan yang tidak dimasak (terkena api).

Berdoa sewaktu berbuka puasa.

Doa Berbuka Puasa

اللهم لك صمت وبك امنت وعلى رزقك أفطرت

Ya Allah, Aku telah berpuasa untuk Kau dan pada Kaulah aku mempercayai dan aku membuka puasa dengan apa yang Kau berikan

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud: “Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa, doa tidak akan ditolak.” (HR Ibn Majah)

Melambatkan makan sahur, kira-kira waktu menjelang tamatnya waktu Imsak.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya melambatkan sahur itu adalah sunnah para Rasul”(HR Ibn Hibban)

Besedekah, membaca quran dan melipatgandakan kebajikan adalah amalan sunat yang sangat digalakkan.

RAMADHAN BULAN AL-QURAN

Sedar ataupun tidak kita, dalam kita menempuh kehidupan ini berbagai-bagai keadaan yang kita alami. Ada masanya kita berhadapan dengan kesenangan dan kemudahan dan ada masanya kita berhadapan dengan kesusahan dan penderitaan. Begitulah lumrah hidup ini. cabaran hidup dan perjalanannya akan berlalu begitu sahaja jika tiada usaha untuk mengambil pengajaran daripadanya. Apa sahaja yang berlaku di sekeliling kita sesungguhnya memilki hikmah yang perlu kita cari. Justeru itulah dalam Al-Quran banyak ayat memerintahkan supaya kita memerhati samaada ianya berkaitan dengan keperluan hidup dunia atau akhirat.

Salah satu kelebihan bulan Ramadhan al-Mubarak ialah ianya bulan yang mana dipilih oleh Allah SWT sebagai bulan turunnya al-Quran. Sebab itulah dalam bulan ini kita juga memperingati satu peristiwa penting dalam Islam iaitu peristiwa Nuzul al-Quran. Firman Allah SWT:


شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِيَ أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَن كَانَ مَرِيضاً أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلاَ يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُواْ الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُواْ اللّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

The month of Ramadan in which was revealed the Quran , a guidance for mankind , and clear proofs of the guidance , and the Criterion ( of right and wrong ) . And whosoever of you is present , let him fast the month , and whosoever of you is sick or on a journey , ( let him fast the same ) number of other days . Allah desireth for you ease ; He desireth not hardship for you ; and ( He desireth ) that ye should complete the period , and that ye should magnify Allah for having guided you , and that peradventure ye may be thankful .

赖买丹月中,开始降示《古兰经》,指导世人,昭示明证,以便遵循正道,分别真伪,故在此月中,你们应当斋戒;害病或旅行的人,当依所缺的日数补斋。真主要你们便利,不要你们困难,以便你们补足所缺的日数,以便你们赞颂真主引导你们的恩德,以便你们感谢他。

(al Baqarah: 185)

Bersempena dengan bulan Ramadhan yang di dalamnya berlakunya nuzul al-Quran, sama-samalah kita meningkatkan kesedaran dan kesediaan untuk mempelajari, membaca, meneroka dan menghayati al-Quran. Sesungguhnya al-Quran itu mengandungi banyak rahsia, khazanah, ilmu dan petunjuk yang dapat dijadikan panduan untuk mencapai kecemerlangan hidup di dunia dan kesejahteraan di akhirat kelak.

Isi kandungan al-Quran bukan sahaja menyentuh soal tauhid dan iman semata-mata tetapi sarat dengan himpunan panduan dan peraturan hidup dan kehidupan. Orang yang dekat dengan al Quran tidak mengenepikan hukum Allah SWT manakala orang yang jauh daripada ruh al-Quran dan panduan agama dan hanya berteraskan kepada pemikiran manusia semata-mata akan membawa kerosakan kepada manusia sejagat. Justeru itu, insafilah akan firman Allah SWT yang bererti:

"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya Yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)". (ar-Rum : 41)

Bagi mengoptimumkan pemanfaatan terhadap al Quran sebagai penjana kecemerlangan ummah, umat Islam perlulah bijak bermuamalah dengan al Quran. Antara langkah yang sangat penting yang perlu dilakukan oleh semua umat Islam ialah mempelajari al-Quran supaya boleh membaca dan memahaminya. Pemahaman yang tepat serta mampu mengambil pengajaran sangat penting supaya segala tindakan kita adalah bersesuaian dengan dasar-dasar yang telah ditentukan oleh Allah. Penghayatan yang bersifat menyeluruh serta usaha peningkatan terhadap penerokaan isi kandungan al-Quran perlu diusahakan secara maksima sepanjang hayat.

KESAN/ PENGARUH IBADAH PUASA.

Semasa bulan Ramadhan kita dilatih untuk mempertingkatkan amalan dengan kepelbagaian ibadah khusus yang ternyata ada kelebihan yang tersendiri. Ibadah puasa wajib pada bulan Ramadhan menyimpan banyak kelebihan untuk membentuk insan bertaqwa. Allah SWT menyediakan kelebihan yang khusus pada ibadah ini justeru itulah kita berusaha untuk menyempurnakan. Hal ini digambarkan dalam hadith maksudnya:

"Kecuali puasa kerana sesungguhnya ia untukku dan aku membalasnya. Ini disebabkan mereka meninggalkan syahwatnya dan makanannya semata-mata keranaku. Bagi orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya. Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kasturi."

(HR Ahmad, al-Bukhari, an-Nasaie & Ibn Majah)

Kelebihan inilah yang mendorong orang-orang yang beriman untuk memperbanyakkan amal kerana mereka yakin dengan janji Allah SWT. Mereka meletakkan harapan yang tinggi untuk menjadi orang yang bertaqwa kerana mereka juga yakin bahawa orang yang paling mulia di sisi Allah SWT adalah orang yang bertaqwa.

Ibadah puasa yang kita lakukan juga dapat melatih dan mendidik kita menjadi orang yang sabar dan mampu mempertahankan diri. Kita terlatih untuk memiliki perisai supaya dapat mengelak diri daripada melakukan sebarang kejahatan daripada semua sumbernya. Orang beriman juga yakin dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Puasa itu sebagai perisai."

(HR Ahmad & an-Nasaie)

"Puasa adalah separuh kesabaran dan atas setiap sesuatu ada zakatnya dan zakat badan itu dengan berpuasa".

(HR al-Baihaqi)

Ramadhan juga telah menimbulkan kesedaran yang tinggi kepada kita bahawa kita perlu empati pada orang lain. Kepayahan dan cabaran yang dihadapi dalam bulan Ramadhan menimbulkan keinsafan kepada kita bahawa di sana masih terdapat orang-orang yang susah daripada kita. Alhamdulillah kita dapat mengecapi berbagai nikmat. Hasil tarbiyah Ramadhan lahirlah insan-insan yang perihatin dan suka membantu orang lain dengan apa cara sekalipun. Senang sama senang susah sama susah. Ditambah lagi dengan kefardhuan zakat fitrah pada bulan ini, menguji kita supaya menjadi orang-orang yang sanggup berjuang mengeluarkan sedikit wang untuk diagihkan kepada orang-orang yang memerlukannya.

Hakikatnya, jika kita mahu berfikir dan cuba menyelami kelebihan tarbiyyah Ramadan, sesungguhnya banyak sekali kesan dan pengaruhnya. Apa yang perlu kita lakukan ialah melakukan muhasabah diri kita dan berfikir dan terus berfikir kesan ibadah yang kita laksanakan dalam bulan yang penuh keberkatan ini.

Tarbiyah Ramadhan bukan hanya untuk kita perolehi sebulan sahaja, tetapi sebenarnya adalah latihan intensif sebulan yang mana kesannya adalah untuk sepanjang tahun dan seterusnya sepanjang hayat kita. Kita sendiri perlu mempastikan bahawa selepas Ramadhan kita menghayati segala apa yang kita perolehi dalam bulan Ramadhan ini. Kalau dalam Ramadhan kita dapat mendisiplinkan diri dengan solat 5 waktu biarlah ia berterusan sampai ke akhir hayat kita dan dalam keadaan apa sekalipun. Begitulah juga dalam melakukan ibadah yang lain, biarlah kita menjadi hamba Allah SWT yang taat dan setia kepadaNya kerana yakinlah “DARIPADA ALLAH KITA DATANG DAN KEPADANYA KITA AKAN KEMBALI”.

Akhirnya setelah kita melalui Ramadhan, diri  kita diumpamakan berada dalam keadaan yang sangat suci bersih atau kembali kepada keadaan fitrah. Fitrah kita mungkin tersasar atau tercalar sebelum di tarbiyah ketika Ramadhan.Selepas Ramadan, Insyaallah kita dapat menapakkan semula fitrah tersebut pada tapaknya yang asal. Justeru itulah Hari Raya yang kita sambut disebut sebagai hari raya Idil Fitri iaitu hari kemenangan setelah kita kembali menjadi fitrah (bersih).Wallahhuaqlam.

Tokanpuakajoran  1 Ramadan 1436 H

Minggu, 05 Agustus 2012

SELAMAT MENYAMBUT NUZUL QURAN

“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya(al Qur’an) pada malam yang penuh barakah” (Surah Al-Baqarah: 185). Yang dimaksud malam tersebut sudah pastinya di bulan Ramadhan, sebagaimana firman Allah yang bermaksud, “Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya al Qur’an.”

Surah Al-'Alaq adalah yang ke-96 dari surah-surah dalam Al Quran. Surah Al-'Alaq terdiri atas 19 ayat.Diturunkan di Makkah pada malam 17 Ramadhan dan tergolong dalam surah-surah Makkiyah (diturunkan di Makkah). Ayat 1 hingga 5 dari surah ini merupakan ayat-ayat yang pertama  diturunkan ketika Nabi Muhammad s.a.w. sedang "berkhalwat" di Gua Hirak. Surat ini dinamai Al 'Alaq (segumpal darah), diambil dari perkataan Alaq yang terdapat pada ayat ke-2 di dalam surah ini.


[1]
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk),
[2]
Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;
[3]
Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, -
[4]
Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -
[5]
Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
[6]
Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau yang sewajibnya),
[7]
Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya.
[8]
(Ingatlah) sesungguhnya kepada Tuhanmu lah tempat kembali (untuk menerima balasan).
[9]
Adakah engkau nampak (baiknya) orang yang melarang (dan menghalang) -
[10]
Seorang hamba Allah apabila ia mengerjakan sembahyang?
[11]
Adakah engkau nampak (buruknya) jika ia berada di atas jalan yang betul? -
[12]
Atau ia menyuruh orang bertaqwa (jangan melakukan syirik)?
[13]
Adakah engkau nampak (terlepasnya dari azab) jika ia mendustakan (apa yang disampaikan oleh Nabi Muhammad kepadanya) serta ia berpaling ingkar?
[14]
Tidakkah ia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat (segala amal perbuatannya dan membalasnya)?
[15]
Jangan sekali-kali berlaku derhaka! Demi sesungguhnya jika ia tidak berhenti (dari perbuatannya yang buruk itu), nescaya Kami akan menyentap ubun-ubunnya (dan menyeretnya ke dalam neraka), -
[16]
Ubun-ubun (orang) yang berdusta, yang bersalah.
[17]
Kemudian biarlah ia memanggil kumpulannya (untuk menyelamatkannya),
[18]
Kami pula akan memanggil malaikat Zabaniyah (untuk menyeksanya)!
[19]
Ingatlah! Janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya, dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh).
Pada malam-malam terakhir bulan Ramadhan ini juga terkandung fadhilat yang amat besar kepada orang-orang yang ingin mencari keredhaan Allah. Kisah ini terkandung dalam surah Al-Qadr.
 

yang bermaksud:

[1]
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
[2]
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
[3]
Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
[4]
Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
[5]
Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar.


TAZKIRAH
  • Dari Abu Hurairah ra bahwa Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa melakukan ibadah Ramadhan karana iman dan mengharap redho-Nya, maka diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu." (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
  • Apabila tiba bulan Ramadan, maka berumrahlah engkau, sesungguhnya umrah pada bulan tersebut (pahalanya) sebanding dengan (pahala) haji. (Hadis Riwayat Muslim)”
  • Barangsiapa memberi makan kepada orang yang berbuka puasa maka dia memperoleh pahala orang yang berbuka itu, dan pahala bagi yang (menerima makanan) berpuasa tidak dikurangi sedikitpun. (Hadis Riwayat Tirmidzi)”  
  • “ Sesiapa yang berusaha menuntut ilmu, maka Allah permudahkan baginya jalan menuju syurga. Para malaikat melebarkan sayapnya sebagai tanda keredhaan keatas penuntut ilmu dan seluruh isi alam langit dan bumi serta ikan di lautan mengucapkan istighfar (memohon keampunan daripada Allah S.W.T. ) terhadap orang yang menuntut ilmu. Sesungguhnya kelebihan orang berilmu itu mengatasi orang yang abid (ahli ibadat) adalah seumpama sinaran bulan purnama keatas gugusan bintang di langit .” - Mafhum Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi.

SELAMAT MENJALANI IBADAH.
MENJORAN UNTUK SEMUA/FISHING 4 ALL.
SALAM RAMADHAN - TOKAN